Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia Berhad, Aireen Omar berkata, sehubungan itu pihaknya masih lagi dalam perbincangan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan bagi mendapat keputusan menang-menang antara semua pihak.

Kata beliau, perbincangan itu turut mengambil kira kesan kepada penumpang terutama penduduk negeri ini agar mereka tidak menerima beban kenaikan harga cukai berkenaan.

Difahamkan, cukai lapangan terbang yang dikenakan kepada penumpang bagi penerbangan antarabangsa di Terminal 2 KKIA dicaj sebanyak RM32. Bagaimanapun caj itu akan meningkat kepada RM65 seorang jika syarikat penerbangan tambang murah berkenaan berpindah ke Terminal 1 KKIA.

“Apa yang menjadi keutamaan AirAsia adalah kesan kepada penumpang negeri ini yang banyak menyokong kami. Mereka bakal dikenakan caj yang tinggi apabila perpindahan berlaku.

“Sekiranya kita (AirAsia) menawarkan tempat duduk percuma sekalipun, penumpang masih perlu membayar harga tinggi jika kita beroperasi di Terminal 1, KKIA. Oleh itu, tiada tempoh yang ditetapkan bila AirAsia akan berpindah ke sana,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian pelancaran rekaan luaran pesawat yang memaparkan tulis `Thank You Sabah’ atau ‘Terima Kasih Sabah’ berserta logo bendera negeri ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Lembaga Pelancongan negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Tambah Aireen, perbincangan antara MAHB dan Kementerian Pengangkutan turut mengambil kira mengenai cukai yang bakal dikenakan selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada April 2015.

Selain itu, beliau memberitahu, AirAsia bersama MAHB dan Kementerian Pengangkutan juga dalam perbincangan mengenai keinginan syarikat tersebut untuk menempatkan beberapa lagi pesawat di KKIA.

“Ini juga menjadi keutamaan kita. Kita mahu menjadikan Sabah sebagai hab destinasi. Setakat ini, hanya enam pesawat AirAsia yang boleh ditempatkan di Terminal 2 KKIA,” katanya.

Sementara itu, Masidi menyambut baik usaha AirAsia membuat rekaan luaran pesawat dengan memaparkan negeri ini yang disifatkan mampu membantu mempromosikan Sabah sebagai sebuah negeri selamat untuk dikunjungi.

Kata beliau, rekaan luaran pesawat itu juga dilihat memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah sekali gus memulihkan keyakinan pelancong terhadap negeri ini.