Ketua Pegawai Operasi Kumpulan CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, keuntungan semasa bagi jualan produk yang digunakan untuk pesawat jenis A320 dan A350 keluaran Airbus tersebut adalah sebanyak RM27 juta dan akan meningkat kepada RM107 juta setahun.

Menurutnya, syarikat menyasarkan pendapatan sepenuhnya hasil jualan komponen penting pesawat berkenaan kepada RM174 juta sekiranya Airbus mencapai sasaran untuk menambah penghasilan pesawat dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

“Sektor fan cowl merupakan antara yang terpenting dan membantu menjana pendapatan besar kepada syarikat selain pembinaan komponen-komponen pesawat lain.

“Justeru, pembinaan bangunan baharu dilengkapi peralatan canggih yang diimport dari Sepanyol, Itali dan England itu akan didedikasikan sepenuhnya untuk pembuatan komponen berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar semasa sesi lawatan media ke kilang CTRM Batu Berendam di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Roslan Roskan.

Jelas Shamsuddin, bangunan baharu berkenaan yang telah diumumkan pembinaannya sebelum ini bertujuan untuk memenuhi kontrak membekal komponen komposit pesawat Airbus A320 dan A350 bernilai RM11.9 bilion yang ditandatangani pada 2015.

“Apa yang membanggakan ka­mi, dengan termeterai perjanjian itu ia akan menjadikan CTRM satu-satunya pengeluar terbesar bagi fan cowl A350 di dunia.

“Pencapaian itu amat penting bagi kami di CTRM kerana bukan semua syarikat berpeluang untuk mendapat peluang sama terutama­nya daripada syarikat gergasi dunia seperti Airbus yang beribu pejabat di Toulouse, Perancis itu,”ujarnya.