Pengerusi CHHB, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, antara strategi bagi meraih dana itu termasuk pinjaman, terbitan bon mahupun potensi untuk kerjasama strategik.

Katanya, Dana War Chest adalah satu dana khas bagi membolehkan syarikat melabur di dalam segmen baharu meliputi empat strategi.

“Strategi pertama adalah penyusunan semula strategi segmen resort serta hospitaliti dan yang kedua memperkukuh segmen kesihatan, pencegahan antipenuaan serta estetik.

“Strategi ketiga merupakan penubuhan Car City Centre dan Pusat Dagangan Cheng Ho serta Pusat Kewangan Islam di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Country Heights di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi CHHB, Lee Cheng Wen.

Kim Yew berkata, strategi perniagaan baharu itu masing-ma­sing dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion mencerminkan transformasi kumpulan.

Jelasnya lagi, hasil daripada AGM yang ke-34 itu termasuk cadangan Dana War Chest itu akan diberikan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, beliau berharap kerajaan baharu akan menjadi lebih telus dan tidak berasaskan kronisme kerana ia merupakan satu harapan baharu buat sektor swasta.

“Kami juga berharap Mahathir akan memperkenalkan Malaysia Diperbadankan, fokus kepada pemerintahan yang baik berbanding menubuhkan syarikat milik kerajaan (GLC) untuk bersaing dengan syarikat swasta,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, CHHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan satu terbitan bonus sehingga 137.85 juta waran berasaskan satu waran untuk setiap dua saham Country Heights yang ada.

Jelas syarikat berkenaan, waran itu akan dikeluarkan tanpa sebarang kos kepada peme­gang saham pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.

“Waran ini akan didagangkan apabila disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities iaitu sebanyak 100 waran atau denominasi lain yang dibenarkan oleh Bursa Sekuriti dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, transaksi saham-saham pemaju hartanah itu di pasaran stok tempatan ditutup pada 11.22 pagi tadi dan kembali didagangkan mulai 2.30 petang.