WAN ZULKIFLE WAN ARIFFIN

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ia adalah bukti kerjasama yang erat dikongsi antara syarikat minyak dan gas negara dan rakan-rakannya dalam usaha pengurangan kos dapat memacu kecekapan dan inovasi yang lebih baik.

Katanya, pemain industri minyak dan gas perlu terus berjaga-jaga dalam mengekalkan kos dan mendorong kecekapan dalam usaha menangani prospek industri yang tidak menentu.

“Sekiranya kita tidak berjaga-jaga dengan kos yang semakin meningkat ini, ia akan merugikan industri secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Persidangan Teknologi Luar Pesisir (Offshore Technology Conference) Asia 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Tambah Wan Zulkiflee, kebimbangan mengenai kos pemulihan harga minyak menunjukkan tan­da-tanda peningkatan pada kadar yang membimbangkan.

“Ini mungkin didorong oleh semangat berlebihan dalam ka­langan pemain industri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun harga minyak menunjukkan tanda-tanda pemulihan, daya tahan harga bahan api itu masih perlu dipantau.

“Harga minyak hari ini adalah hasil daripada pelbagai inisiatif yang diambil antaranya pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), tahap inventori yang lebih rendah, gangguan bekalan di beberapa buah negara dan permintaan yang lebih tinggi, terutama di Asia.

“Peningkatan harga minyak juga memacu peningkatan jumlah penggerudian aktif dan ini akan mencetuskan lebih banyak peluang perniagaan di dalam industri,” katanya.