Pengasas Bersama Common Ground, Juhn Teo berkata, ahli Common Ground boleh menikmati kadar korporat yang menarik walaupun tempahan dibuat di saat akhir berbanding pembelian di laman web AirAsia.com.

Menurut beliau, sebagai tawaran tambahan ahli Common Ground dapat mengakses ruang istirahat AirAsia Premium Red ketika menunggu penerbangan mereka.

“Tawaran ini membolehkan mereka bersantai atau bekerja tanpa menjejaskan produktiviti dan keselesaan. Orang ramai hanya perlu menjadi ahli Common Ground bagi menikmati akses eksklusif ini termasuk usa­ha sama kemudahan yang lain.

“Perkhidmatan baharu ini dapat diakses menerusi perisian Common Ground dan portal ahli, Ambition Engine. Ahli Common Ground di semua lokasi kini boleh mengakses serta mendaftar untuk program MyCorporate AirAsia bagi memenuhi segala keperluan penerbangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MyCorporate AirAsia merupakan program kunjungan perniagaan yang menyasarkan pengembara korporat dengan pelbagai fleksibiliti seperti pertukaran penerbangan secara percuma, proses daftar masuk yang lebih pantas serta manfaat-manfaat eksklusif lain.

Tambah Teo, peserta program MyCorporate AirAsia dapat bekerja di semua lokasi Common Ground di Malaysia dan pada masa sama ahli Common Ground turut menikmati pelbagai manfaat program berke­naan.

Katanya, Common Ground bakal melancarkan lokasi-lokasi baharu di Filipina dan Thailand sekali gus mewujudkan akses kepada pejabat di rantau ini.

“Semua lokasi Common Ground meliputi kafe, ruang penganjuran acara, pelbagai bilik korporat, bilik istirahat dan ruang kerja empat format yang ideal yang ideal bagi pengembara perniagaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Spencer Lee berkata, pihaknya komited untuk menjadikan program MyCorporate AirAsia sebagai pilihan pertama dalam kalangan pengembara korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).