Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investment Group untuk Singapura-Malaysia-Bru­nei, Stephen Lusk berkata, pelaburan tambahan itu antara lain bagi membina kilang di kawasan seluas empat hektar yang terletak bersebelahan kilang sedia ada berkeluasan 12 hektar.

Katanya, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun ini dan akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020.

“Sewaktu Coca-Cola melancarkan semula perniagaannya di Malaysia pada tahun 2010, ia meng­umumkan pelaburan sebanyak RM1 bilion yang dipenuhi tahun lalu. Bagi tahun 2017, saya sukacita mengumumkan pelaburan tambahan RM500 juta.

“Apabila siap kelak, Coca-Cola Malaysia akan mempunyai lebih daripada 1,000 pekerja dan terdapat lebih 10,000 pekerja lain dalam pelbagai perniagaan yang menyokong perniagaan Coca-Cola di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pe­cah tanah kilang tambahan Coca-Cola yang disempurnakan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di Bandar Enstek di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaludin Said.

Mengulas lanjut mengenai pe­­­laburan tambahan itu, Lusk berkata, prasarana tersebut akan menempatkan gudang dengan teknologi terkini yang dilengkapi ruang penyimpanan berautomasi dan sistem pencarian serta teknologi yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga.

Selain itu, ujarnya, ruang yang ada akan digunakan bagi jaluran pengeluaran tambahan untuk membolehkan Coca-Cola Malaysia menghasilkan produk daripada kategori lain.

“Proses pembesaran kilang di Nilai adalah sejajar dengan usaha kami membangun dan bertindak balas terhadap keperluan pengguna menerusi penawaran pelbagai pilihan produk yang inovatif, berperisa hebat dan berkualiti tinggi,” katanya.