Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nor Abd. Razak berkata, tawaran itu dibuka bagi memastikan CBP memperolehi pertumbuhan modal kepada RM1 bilion sebelum hujung 2018 bagi memboleh­kan CBP menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan untuk menjana lebih banyak pendapatan.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berminat untuk me­labur dengan bank itu boleh berbuat demikian di semua cawa­ngan CBP di seluruh negara dan bayaran minimum saham untuk menjadi ahli CBP bagi individu adalah RM1,000 manakala koperasi pula sebanyak RM5,000.

“CBP berharap tawaran saham ini mendapat sambutan daripada bukan sahaja pelabur perseora­ngan malah syarikat koperasi yang dianggarkan berjumlah kira-kira 13,000 buah di seluruh negara kerana ketika ini, baru 823 buah syarikat koperasi iaitu lima peratus sahaja yang melabur dengan CBP.

"Sasaran CBP adalah menyedia­kan dividen sebanyak 10 peratus kepada pelabur menjelang 2020, walaupun kita tidak menetapkan bayaran dividen yang ba­nyak tetapi jika dibandingkan de­ngan syarikat-syarikat pelaburan di negara ini kecuali Bank Rakyat, jumlah dividen itu agak tinggi,” katanya ketika ditemui pada maj­lis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran CBP cawangan Melaka di Ayer Keroh semalam.

Bank koperasi tersebut bulan lalu mengumumkan akan membuka keahlian kepada semua termasuk bukan bumiputera apabila membuka cawangannnya di Sabah dan Sarawak mulai suku ketiga tahun ini.

Menurut Mohd. Nor, tawaran itu sekali gus menjadikan komposisi syarikat sebanyak 60 peratus kepada bumiputera dan 40 peratus kepada bukan bumiputera berbanding komposisi 90-10 peratus sebelum ini.

“Reaksi yang diterima daripada keputusan syarikat itu menunjukkan kesan yang positif yang mana keahlian kita semakin meningkat dan sebagai sebuah bank koperasi yang masih memainkan peranan utama membantu syarikat-syarikat koperasi di negara ini, CBP akan terus memperkasakan pelan strategik syarikat yang dilancarkan pada 2016,” katanya.

Pada 2017, CBP merekodkan pendapatan operasi yang tinggi sehingga RM198.6 juta dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih RM39 juta.

Pencapaian itu adalah berdasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan yang dicapai pada 2017 hampir RM700 juta, meningkat 45 peratus berbanding 2016 sebanyak RM496 juta manakala aset pembiayaan meningkat lebih 21 peratus daripada RM1.73 bilion tahun sebelumnya kepada RM2.1 bilion pada tahun lalu.