CIMB Group berkata, Mohd. Nasir akan mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Nazir Razak yang mele­takkan jawatannya hari ini.

Menurut kumpulan itu, Mohd. Nasir telah menjadi ahli lembaga pengarah (BOD) kumpulan sejak 2015, dan Pengarah Bebas Kanan sejak April 2016.

“Beliau tidak asing dengan perniagaan kumpulan dan terkenal dalam kalangan pihak berkepentingan dalaman dan luaran CIMB.

“Sebagai sebahagian daripada pe­lantikan ini, Mohd. Nasir akan melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit.

“Beliau akan kekal sebagai Ahli Jawatan Kuasa BOD, Jawatankuasa Risiko serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran Kumpulan,” jelas CIMB dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nasir merupakan Akauntan Bertauliah dan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) United Kingdom, selain menjadi Ahli Majlis Global ACCA.

Beliau memiliki pengalaman korporat selama 39 tahun melalui syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd., serta jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kebangsaan Bhd. dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

Beliau juga Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd. serta Pengarah Bebas CIMB Bank Bhd.; Sirim Bhd. dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd.