Perolehannya turut menokok kepada RM17.63 bilion berbanding RM16.07 bilion pada 2016, kata kumpulan itu menerusi maklumannya kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi itu didorong oleh pendapatan operasi sebanyak RM17.63 bilion, usaha disiplin kos dan peruntukan rendah yang berterusan dengan kedua-dua segmen perbankan runcit dan pengguna mencatat pertumbuhan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak 53 peratus dan 11.8 peratus.

Sebahagian besar pendapatan operasi yang lebih baik itu dipacu oleh pertumbuhan bukan faedah sebanyak 12.8 peratus, seiring dengan aktiviti pasaran modal yang positif dan peningkatan pendapatan fi serta pertumbuhan pendapatan faedah bersih sebanyak 8.4 peratus.

Menurut CIMB, perbelanjaan operasinya meningkat 5.6 peratus bagi tahun ke tahun namun ini hanya 3.4 peratus lebih tinggi selepas mengecualikan kesan tukaran mata wang asing ketika kumpulan mengekalkan usaha kos pengurusan.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember, 2017, CIMB mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM1.09 bilion berbanding RM878.42 juta pada suku sama 2016 manakala perolehan juga meningkat kepada RM4.52 bilion daripada RM4.31 bilion.

Kumpulan itu mengumumkan dividen bersih interima kedua sebanyak 12 sen sesaham yang dibayar secara tunai atau pilihan Skim Pelaburan Semula Dividen.

Bagi tahun kewangan di bawah kajian, CIMB berkata, jumlah dividen itu adalah 25 sen atau RM2.28 bilion yang membabitkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 51 peratus daripada keuntungan. - BERNAMA