Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, ia termasuk Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Transit Aliran Massa (MRT), Lebuh Raya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Katanya, inisiatif Bajet 2018 juga dijangka memberi kesan positif menerusi projek kerajaan bernilai RM59.1 bilion bagi pembinaan jalan persekutuan, perumahan rakyat, sekolah, kompleks sukan, hospital serta projek infrastruktur dan kemudahan sosial lain.

“Jika dilihat daripada nilai projek, jumlahnya adalah amat memberangsangkan berikutan pelaburan sektor kerajaan dan swasta dalam projek pembinaan yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Berdasarkan statistik CIDB, nilai projek pembinaan pada tahun 2016 adalah sejumlah RM229 bilion dengan sebanyak 6,855 projek pembinaan direkodkan. Angka berkenaan adalah tertinggi dicatatkan sejak tahun 2010.

Daripada RM229 bilion itu, 60 peratus atau RM137 bilion adalah projek infrastruktur, 19 peratus atau RM43 bilion projek bukan perumahan, 18 peratus atau RM41 bilion projek perumahan dan empat peratus atau RM9 bilion projek kemudahan sosial.

Ahmad Asri berkata, industri pembinaan merupakan antara penyumbang terbesar dalam perkembangan ekonomi dan pembangunan negara, malah pertumbuhannya berada di tahap lebih tinggi berbanding sektor ekonomi lain.

“Pada tahun 2016, kadar pertumbuhan industri pembinaan mencatatkan angka 7.4 peratus, sementara itu setakat pertengahan pertama tahun 2017 pula, industri tersebut juga telah berkembang sebanyak 8.3 peratus,” ujar beliau.

Mengulas Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), beliau memberitahu, CIDB sedang melaksanakan se­banyak 21 inisiatif, malah hampir 96.5 peratus da­ripada 117 Petunjuk Pres­tasi Utama (KPI) telah me­nepati sasaran dari Januari 2016 hingga Jun 2017.

Menurut Ahmad Asri, dari tahun 2016 hingga 2020, sasaran CIDB adalah berdasarkan kepada empat teras strategik CITP iaitu kualiti, keselamatan dan profesionalis­me; kemapanan alam sekitar, produktiviti dan pengantarabangsaan.

“Setakat Jun 2017, sebanyak 449 projek di bawah teras pertama telah dinilai menggunakan Pentaksir Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (Qlassic) dan 63 peratus atau 281 daripadanya mencapai lebih 70 peratus skor Qlassic.

“Teras kedua, CIDB sedang membangunkan alat penarafan infrastruktur mapan pertama di Malaysia untuk menguji ketahanan infrastruktur terhadap bencana alam termasuk Alat Pengurangan Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia (MyCrest).

“Bagi teras ketiga, CIDB melak­sanakan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) menerusi penubuhan Pusat MyBIM, serta mempergiatkan kesedaran kepada pihak berkuasa tempatan mengenai Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Akhir sekali, teras keempat, sebanyak 79 projek bernilai RM2.7 bilion telah dimenangi oleh syarikat Malaysia di negara luar termasuk Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Pakistan, Bangladesh, Kemboja dan Laos, melebihi KPI asal RM2 bilion,” katanya.