WONG CHUN WAI

Menurut Star Media Group, Chun Wai, 57, juga akan melepaskan jawatannya dalam se­mua anak syarikat kumpulan berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Namun jelas kumpulan itu, Chun Wai yang telah bersama dengan Star Media Group selama 34 tahun akan kekal sebagai penasihat kumpulan berkaitan dengan editorial dan korporat.

“Ahli lembaga pengarah dan pengurusan Star Media Group ingin menyampaikan penghargaan kepada Chun Wai atas sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada syarikat dan kumpulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kenyataan bera­singan, Chun Wai mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group selama enam tahun.

“Ia adalah satu tempoh yang lama, dan lebih-lebih lagi terlibat dalam perniagaan yang mencabar seperti media. Peranan seorang Ketua Pegawai Eksekutif adalah sa­ngat berbeza dengan rakan-rakan di syarikat lain,” kata beliau.

Chun Wai menyertai syarikat akhbar Star Media Group, The Star pada 1984, dan hanya memperoleh kira-kira RM300 sebulan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai editor pada 1 Januari 2008 sebelum menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 20 November 2013.

“Saya menyertai The Star atas pendiriannya, walaupun dibayar dengan gaji yang rendah berbanding media lain. Meskipun terdapat kritikan berkaitan dengan politik, saya ingin menekankan bahawa kami sentiasa mementingkan kesederhanaan dalam jenama ini,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu yang sebelum ini dikenali sebagai Star Publications Bhd. telah berkembang menjadi Star Media Group.