Mohd Anuar Osman

Serentak dengan pembukaannya yang bakal disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, ia akan turut melibatkan pelancaran semula jenama itu dengan identiti korporat dan logo yang baharu.

Pemangku Pengarah Urusan TI Global Food Management Limited (TIGFM), Khalizan Mahmud berkata, di samping itu, pihaknya akan turut menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat yang akan mengendalikannya secara francais di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Singapura dan China.

“Kami juga bakal memeterai kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi membangunkan pembekal dalam kalangan usahawan anak negeri serta menjalankan penyelidikan dan kajian (R&D) terhadap produk,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Chicken Cottage yang mula beroperasi di Wembley, United Kingdom pada tahun 1994 adalah satu nama yang semakin kukuh dalam industri restoran makanan segera dengan mempunyai 102 francais di United Kingdom, Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat.

Sayap pelaburan negeri, Terengganu Inc. Sdn. Bhd. (TISB), bersama Global Food Brand Limited telah membuhkan TIGFH bagi menguasai 70 peratus saham Chicken Cottage Limited dan memiliki jenama itu pada Febuari 2014 daripada pemilik terdahulu, menjadikannya jenama Malaysia sepenuhnya.

Pembukaan operasinya di negeri ini menjadi permulaan kepada TIGFH, melalui syarikat bersekutu TIGFM yang memperluaskan rangkaian perniagaan dirantau ini melalui konsep francais dengan menawarkan produk makanan halal, segar dan menyelerakan dengan harga yang berpatutan.

Khalizan berkata, menu seperti ayam goreng, ayam panggang dan aneka burger yang dijual adalah menggunakan ayam segar bagi menjamin kualiti produk bertepatan dengan tagline, 'Semuanya Tentang Rasa'.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage (M) Sdn. Bhd. merangkap Naib Presiden Kanan Operasi Francais TIGFM, Mohd. Anuar Osman berkata, pihaknya menyasarkan pembukaan 50 buah cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.