Pengarah Urusan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, pihaknya merancang untuk membuka sebanyak 15 cawangan secara berperingkat di Singapura bermula pertengahan 2019.

Katanya, bagi rancangan di Arab Saudi, Chatime Malaysia merancang untuk membuka kira-kira 30 cawangan mengambil kira potensi tinggi di negara itu.

Pelan agresif kata beliau, untuk memperluaskan jenama ke peringkat antarabangsa itu dibuat setelah memberi tumpuan hanya kepada operasi dalam negara pada tahun ini.

“Buat masa ini, Malaysia adalah pasaran terbesar Chatime dan kami mahu mengekalkannya justeru kami memfokuskan kepada perniagaan di dalam negara.

“Kami mengunjurkan untuk mempunyai sebanyak 70 cawangan Chatime pada akhir tahun ini dan 150 cawangan pada 2019 di dalam Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Peruntukan capex bagi pelan peluasan Chatime di Malaysia melibatkan pelaburan kira-kira RM40 juta.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia, Wi­dayu Latiff berkata, syarikat telah menerima lebih 3,000 permohonan dalam kalangan orang ramai yang berminat untuk membuka cawangan itu.

Beliau menjelaskan bagi fasa pertama, kebanyakan cawangan dibuka oleh Chatime Malaysia sendiri kerana pihaknya mahu menjaga reputasi dan operasi perniagaan itu dengan teliti.

“Walau bagaimanapun, pada tahun hadapan, kami terbuka dan mengalu-alukan permohonan bagi usahawan yang berminat untuk membuka cawangan Chatime di lokasi strategik.

“Kami menasihatkan mereka yang berminat supaya bersedia dengan pelan yang lengkap terutamanya dari aspek lokasi bagi memastikan pulangan bagi pelaburan (ROI),” katanya.

Chatime Malaysia ialah anak syarikat milik penuh Will Group Sdn. Bhd. Jenama Chatime memasuki Malaysia pada 2011 dan pemilik jenama global Chatime ialah La Kaffa International Co.

Chatime yang diasaskan di Taiwan telah menerima sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Mac lalu.

Penganugerahan sijil halal itu akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna selain membolehkan syarikat itu berkembang ke peringkat antarabangsa terutama Asia Barat.

Chatime menawarkan lebih 70 menu minuman berasaskan teh, koko dan kopi dan antara menu popular adalah Pearl Milk Tea.