ALIZA ALI

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali berkata, sekiranya terdapat pemilik cawangan Tealive meng­hubunginya, syarikat akan membenarkan cawangan itu beroperasi di bawah jenama Chatime berikutan permintaan yang tinggi sejurus keputusan mahkamah dikeluarkan.

Katanya, Chatime Malaysia memuji keputusan mahkamah dan percaya ia akan memberi persepsi positif kepada keberkesanan dan integriti sistem kehakiman Malaysia.

“Meskipun begitu, kami sedar bahawa keputusan itu akan memberi impak terhadap pekerja, pemilik francais terlibat seterusnya pelanggan yang telah menjadi tulang belakang perniagaan sejak Chatime mula beroperasi.

“Pintu kami sentiasa terbuka untuk membantu mereka yang terkesan dan buat masa ini, mereka adalah keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan semalam telah menolak permohonan penggantungan perlaksanaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh pemilik Tealive, Loob Holding Sdn. Bhd.

Ia berikutan perintah injuksi dikeluarkan mahkamah pada 27 Jun 2018 yang berpihak pada pemilik Chatime, La Kaffa International Co. Ltd.

Permohonan Loob yang difailkan sehari selepas keputusan injunksi tersebut telah ditolak atas dasar syarikat tersebut telah me­langgar pelbagai obligasi kontrak dan undang-undang terhadap La Kaffa berkaitan tegahan perdaga­ngan dan akta francais Malaysia.

Menurut undang-undang, Loob dilarang daripada menjalankan jenama Tealive sebagai pesaing kepada jenama Chatime dalam tempoh dua tahun

Aliza berkata, keputusan itu akan memperkukuhkan lagi keyakinan dan dapat menarik lebih ramai pelabur dagangan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.