Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut ditemani isteri beliau, Che' Puan Khaleeda Bustamam dan puteri sulung mereka, Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Country Garden Pacific View (CGPV), Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman.

Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md. Othman Yusof berkata, MoU tersebut merupakan tambahan kepada MoU yang ditandatangani pihaknya dengan 36 syarikat akhir tahun lalu.

“Kerjasama yang ditandatangani ini merupakan gambaran terhadap kejayaan pembangunan di Forest City selain kerancakan ekonomi di negeri ini.

“Secara tidak langsung, pembangunan dan kerjasama akan turut memberi manfaat kepada rakyat tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Cenderawasih, Forest City, di sini hari ini.

Antara 21 syarikat tersebut termasuk pemain dalam sektor perubatan dan penjagaan kesihatan, pendidikan dan latihan, pelancongan, perkhidmatan kewangan dan teknologi.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut melancarkan mercu tanda ikonik baharu Forest City, Menara Carnelian 1 yang akan menempatkan ruang komersial, pusat beli-belah bebas cukai, pusat pendidikan dan inkubator untuk usahawan kecil dan sederhana (IKS).

Pembangunan mercu tanda berkeluasan 500,000 meter persegi itu merangkumi 25 tingkat kawasan pejabat, selain pusat beli-belah bebas cukai.