Fasa pertama sekolah antara­bangsa Amerika Syarikat itu yang menawarkan program pendidikan prasekolah sehingga mene­ngah yang sedang rancak diba­ngunkan, dijangka siap pada Ogos tahun depan.

Pengarah Urusan CGPV, Datuk Md. Othman Yusof berkata, pembinaan fasa pertama The Shattuck St. Mary’s itu melibatkan keluasan 622,466 kaki persegi, sebahagian daripada 9.8 hektar hab pendidikan di Forest City.

“Kami menjangkakan fasa pertama sekolah antarabangsa The Shattuck St. Mary’s itu siap pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah sekolah berkenaan di Forest City di sini hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Pe­ngarah Urusan CGPV, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman.

Yang turut hadir, Pengetua The Shattuck St. Mary’s Forest City, Graham Gamble dan Naib Pre­siden Bright Scholar Education Holdings, Alexander Shu Chen.

Md. Othman berkata, sekolah tersebut apabila siap sepenuh­nya, mampu menampung sehing­ga 3,200 pelajar dengan pengambilan seramai 160 orang apabila fasa pertama siap kelak.

“Hab pendidikan di Forest City boleh diperluaskan mengikut keperluan dan kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang terlibat dalam pendidikan untuk membuka institusi mereka di Forest City,” katanya.