Dalam kenyataan bersama, TM dan TNB memberitahu, kerjasama tersebut akan memanfaatkan kekuatan gabungan kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dari segi jangkauan, infrastruktur dan kepakaran.

“Secara khususnya, sinergi ini akan membolehkan struktur kos yang paling cekap dan mempercepat jangkauan jari­ngan jalur lebar fiber.

“Ia juga adalah selaras de­ngan aspirasi kerajaan untuk memacu Ekonomi Digital Malaysia seperti yang dibayangkan di bawah kedua-dua projek NFP serta Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB),” jelas kenyataan kedua-dua GLC itu di sini hari ini.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan mengumumkan pelancaran NFP 2017-2019 bagi pengemba­ngan infrastruktur jalur lebar negara yang menyambungkan seba­nyak enam juta premis dalam negara kepada rangkaian fiber.

TNB akan terlibat secara besar-besaran dalam projek tersebut memandangkan kerajaan merancang untuk memanfaatkan rangkaian fiber syarikat itu yang luas sebagai asas projek.

MoU berkenaan ditandata­ngani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.

Majlis itu disaksikan Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd. Isa dan Ketua Pegawai Strategi TM, Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam.

MoU itu juga tertakluk kepada perjanjian muktamad yang akan ditandatangani di antara kedua-dua pihak selepas terma komersial dimuktamadkan.

Pengumuman selanjutnya akan dibuat dalam masa terdekat dan apabila tiba masa sesuai, jelas kenyataan itu lagi.

Menurutnya, pelan berke­naan adalah penting bagi memastikan negara terus berdaya saing terutama bagi penduduk di kawasan luar bandar untuk berpeluang mengambil bahagian dan menerima manfaat daripadanya.

Sebagai tambahan, tambah kenyataan itu, usaha di bawah TM dan TNB iaitu dua institusi utama di Malaysia juga akan memastikan keselamatan infrastruktur strategik dan kritikal negara.

“Selain itu, rangkaian yang dicadangkan ini turut akan meneruskan penyertaan akses terbuka sedia ada kepada peserta industri untuk mempromosikan persaingan sektor swasta dalam jalur lebar runcit,” jelasnya.