Asia Aviation memiliki 55 peratus kepentingan dalam Thai AirAsia dan susulan transaksi itu, kepentingan Tassapon dalam syarikat tersebut mening­kat kepada 41.3 peratus daripada lima peratus sebelum ini.

Dalam satu nota, Centre for Aviation (CAPA) memaklumkan, Srivaddhanaprabha dan keluarganya membeli kepentin­gan mereka dalam syarikat itu pada 7.9 bilion baht tahun lepas.

Tassapon dilaporkan berkata, pembelian itu akan memboleh­kan beliau merealisasikan visi dan hala tuju syarikat penerbangan tersebut.

“Thai AirAsia akan terus me­labur pada 2018 seperti yang dirancang termasuk pembe­lian tujuh pesawat. Kami menganggarkan jumlah penumpang pada 2018 kira-kira 22 juta dan kami boleh mencapainya menerusi penembusan pa­saran baharu di ASEAN, India dan China,” katanya.

Sementara itu, CEO Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes melalui akaun Twitter rasminya berkata: “Hari bersejarah bagi AirAsia memandangkan kita menuju ke arah ASEAN dan sebagai sebuah syarikat. Tassapon mendapat semula pemilikan AirAsia Thailand. One AirAsia akan direali­sasikan bersama-sama Indonesia dan Filipina.”

Fernandes berkata, AirAsia kini bekerjasama dengan Palantir Technologies bagi pembangunan yang akan meningkatkan jualan secara mendadak dan mentransformasikan syarikat penerba­ngan tambang rendah itu kepada syarikat digital. – BERNAMA