Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata, beliau bagaimanapun akan kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dalam Lembaga Pengarah Kumpulan Astro selepas tarikh tersebut.

“Rohana merupakan pe­mimpin yang penuh dengan ins­pirasi untuk warga Astro yang telah mengetuai kumpulan untuk mencatat pencapaian bermakna dalam industri media di Malaysia.

“Kami menghormati keputusan beliau untuk melepaskan jawatan tersebut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada­nya di masa hadapan,” jelas Zaki dalam kenyataan di sini hari ini.

Rohana disifatkan sebagai perancang utama strategi pertumbuhan Astro yang menyaksikan stesen itu mengembangkan kedudukan sebagai syarikat kandungan dan pengguna di Malaysia dan ASEAN.

Malah, di bawah pentadbiran beliau, pelanggan Astro meningkat daripada dua juta kepada 5.5 juta orang, manakala perolehan berkembang daripada RM1.79 bilion kepada RM5.53 bilion bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Januari 2018.

Menurut Zaki, jawatan Rohana akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Kandungan dan Pengguna Kumpulan Astro, Henry Tan.

“Tan telah bersama dengan Astro selama lebih 10 tahun dan stesen ini percaya beliau mampu menggantikan Rohana untuk mengemudi Astro di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Rohana berkata, perniagaan yang telah dibina sejak bertahun lamanya di Astro dikaitkan de­ngan individu-individu yang bersemangat, komited dan berbakat membentuk pasukan Astro.

“Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada Astro yang bergerak sebagai satu pasukan bagi menggapai lebih banyak pencapai­an dalam industri yang berkembang pesat dan dinamik ini,” katanya.