Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, penggunaan Zipit Chat tidak terhad kepada pengguna Celcom, malah pengguna daripada rangkaian telekomunikasi lain juga boleh menikmati manfaat yang diberikan oleh aplikasi berkenaan.

Ujarnya, Zipit Chat merupakan satu aplikasi keselamatan mudah alih yang membolehkan pengguna mempunyai kawalan penuh ke atas data peribadi mereka iaitu memelihara dan melindungi maklumat kandungan perbualan, mesej, emel dan buku telefon daripada diakses pihak lain.

Katanya, antara ciri keselamatan utama bagi aplikasi berkenaan termasuklah keselamatan, perlindungan, kawalan serta ianya tidak kelihatan.

“Pengguna boleh merahsiakan perbualan mereka sama ada di emel, mesej, mahupun sebarang fail yang dikongsi, pengguna juga boleh menetapkan kata kunci keselamatan bagi mengelak ianya diakses oleh orang lain,” katanya pada pelancaran Zipit Chat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd., Datuk Seri Shazalli Ramly.

Zalman Aefendy berkata, aplikasi berkenaan memberikan nafas baharu kepada mereka yang ingin mengekalkan kerahsiaan dalam komunikasi harian.

“Kita sedia maklum yang ketika ini ramai dalam kalangan pengguna berkomunikasi melalui peranti mudah alih, dan ia amat memerlukan sesuatu yang boleh melindungi sebarang kandungan perbualan dan mesej daripada diakses oleh pihak lain,” jelasnya.

Untuk permulaan, Zipit Chat boleh didapati di Google Play bagi pengguna Androi dengan harga RM10 dan aplikasi ini bakal menemui pengguna Apple di App Store bermula bulan depan.