Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner berkata, bagi suku ketiga berakhir pada 30 September 2017, perolehan per­khid­matan naik sebanyak 1.9 peratus kepada RM1.52 bilion berban­ding suku sebelumnya.

Beliau berkata, Celcom akan terus meningkatkan produk bagi penggunanya melalui perbelanjaan modal sebanyak RM1.3 bilion yang diperuntukkan dan yakin mampu mengakhiri tahun kewang­an 2017 dengan positif.

“Setakat ini kita telah membe­lanjakan sebanyak RM670 juta untuk projek-projek yang dijalankan pada suku sebelumnya.

“Ada lebih kurang enam minggu lagi untuk mengakhiri tahun 2017, kami akan terus memperkenalkan beberapa tawaran dan produk baharu,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat prestasi kewangan suku ketiga 2017 Celcom di sini hari ini.

Celcom mencatatkan perolehan sebanyak RM1.65 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2017, me­ningkat 2.1 peratus berbanding suku sebelumnya.

Bagi suku sama, hasil data me­ningkat sebanyak 25 peratus tahun ke tahun kepada RM730 juta sekali gus menyumbang 44 peratus kepada hasil keseluruhan syarikat.

Kuehner berkata, penggunaan data juga meningkat sebanyak 16.1 peratus berbanding suku sebe­lumnya kepada 7.2GB setiap bulan bagi setiap pengguna.

“Syarikat turut mencatat pres­tasi kukuh bagi segmen prabayar dengan peningkatan sebanyak 3.7 peratus dipacu oleh daya tarikan positif daripada data,” katanya.