Penyedia rangkaian telekomunikasi itu merekodkan peningkatan 1.4 peratus dalam pendapatan perkhidmatan kepada RM1.495 bi­lion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017 ketika industri merekodkan kemerosotan sebanyak 2 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Kuehner berkata, dalam suku kajian itu, Celcom mencatatkan jumlah pendapatan bernilai RM1.621 bilion iaitu peningkatan 0.7 peratus daripada pencapaian suku pertama tahun ini.

Katanya, keuntungan selepas cukai, pelunasan dan kepentingan minoriti (PATAMI) Celcom juga me­lonjak 22.9 peratus kepada RM331 juta sementara pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 7.2 peratus kepada RM630 juta.

Menurut beliau lagi, antara faktor yang mempengaruhi pertumbuhan itu adalah penambahba­ikan pendekatan dalam me­menuhi kehendak pengguna serta penyela­rasan pengurusan kewangan dan operasi syarikat.

“Kami telah memperkenalkan program pendigitalan pengedar yang memperbaiki ketersediaan produk secara keseluruhan dan membolehkan pengalaman pengedaran yang lebih baik buat ekosistem jualan dan agihan,” katanya ketika ditemui di taklimat media perniagaan suku kedua Celcom di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom, Azwan Khan Osman Khan dan Ketua Pegawai Kewangan syarikat telekomunikasi itu, Jennifer Wong.