Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Michael Kuehner berkata, beberapa faedah tersebut termasuk cara yang lebih mudah untuk mendapatkan dan mem­belanjakan mata ganjaran Enrich, diskaun penerbangan untuk semua pelanggan Celcom, serta pelan perayauan yang menarik.

Katanya, kerjasama strategik Celcom dengan Malaysia Airlines melambangkan kesungguhan dan komitmen telekomunikasi untuk meningkatkan peranti dan pengalaman digitalnya, ke arah memberi manfaat kepada para pelanggan dan pekerja Malaysia Airlines.

“Kedua-dua pelanggan Celcom dan Enrich tidak lama lagi akan menikmati pengalaman hebat dalam penawaran digital dan penghargaan yang inovatif yang akan memperkayakan gaya hidup mereka,” katanya kepada pembe­rita selepas majlis menandata­ngani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Celcom dan Malaysia Airlines di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail.

Kuehner berkata, Celcom dan Malaysia Airlines masing-masing akan mula membuat pengumuman mengenai tawaran dan ganjaran hebat yang menanti pelanggan mereka bermula 1 Februari depan.

Sementara itu Izham berkata, kerjasama tersebut juga merupakan sebahagian besar daripada matlamat Malaysia Airlines dalam menghubungkan orang ramai sama ada melalui perjalanan mahupun telefon mudah alih.

“Kerjasama ini bakal membolehkan ahli Enrich menikmati ganjaran dengan lebih cepat melalui kaedah yang baharu dan inovatif dalam mengumpul dan menebus mata ganjaran,” katanya.

Mengenai khabar angin mengenai penggabungan semula antara Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan Axiata Group Bhd., Kuehner berkata ia disifatkan sebagai logik, tetapi ia tertakluk kepada pemegang saham untuk membuat keputusan tersebut.

Jelasnya, TM dan Axiata masing-masing merupakan gergasi telekomunikasi di negara ini dan sebagai anak syarikat Axiata, Celcom mungkin menerima ke­lebihan daripada penggabungan tersebut sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Saya boleh bayangkan banyak sinergi boleh dihasilkan dari penggabungan ini, namun ia hanya sekadar khabar angin,” katanya.