Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Michael Kuehner berkata, pihaknya komited untuk memberikan pengalaman permainan telefon mudah alih yang canggih dengan nilai hadiah yang tinggi kepada pemenang.

Beliau berkata, Celcom Game Hero merupakan antara inisiatif yang akan terus meningkatkan dan memenuhi keperluan komuniti digital permainan telefon mudah alih di negara ini.

“Pada masa ini, pengguna gemar permainan telefon mudah alih dan terdapat permintaan yang tinggi untuk rangkaian terbaik bagi pengalaman permainan tanpa sebarang gangguan.

“Memandangkan pengalaman pengguna adalah keutamaan Celcom, pelbagai peringkat pemain boleh menantikan lebih banyak inisiatif yang menarik daripada pengalaman permainan telefon mudah alih ini,” katanya pada majlis pelancaran pertandingan Celcom Game Hero di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Techninier Sdn. Bhd., Datuk Lion Peh.

Aplikasi Celcom Game Hero yang dibangunkan oleh Celcom Axiata dengan kerjasama Techninier, boleh dimuat turun menerusi Google Play dan iOS App Store. Pengguna Celcom boleh menyertai pertandingan itu yang bermula hari ini sehingga 6 April depan secara percuma.

Selepas tarikh itu, langganan seminggu sebanyak RM3 akan dikenakan dengan pertandingan ini berlangsung selama empat bulan. Pemenang peraduan akan diumumkan selepas tamat Sky Invasion 3D. Peraduan seterusnya akan menggunakan genre berbeza dengan hadiah-hadiah menarik.

Sementara itu, Salleh berkata, Celcom Game Hero bakal melon­jakkan industri kreatif serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara berikutan setakat ini tidak ada pertandingan permainan telefon mudah alih menawarkan hadiah wang tunai setinggi itu.

“Tidak dapat dinafikan bahawa dunia kini terarah kepada kemajuan ICT melibatkan gene­rasi muda malah permainan kompetitif seperti ini (Celcom Game Hero) juga tidak terkecuali untuk dikuasai oleh golongan tersebut.

“Di peringkat global, pasaran e-sukan dianggarkan melebihi AS$1 bilion tahun ini, menunjukkan kepentingan industri ini,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berke­naan juga selaras dengan visi dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengembangkan ekonomi digital serta menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam membangunkan masyarakat berasaskan pengetahuan.