Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma, Leonard A­riff Abdul Shatar berkata, untung sebelum cukai (PBT) meningkat 18.6 peratus kepada RM13.26 juta sementara untung selepas cukai (PAT) melonjak kepada RM10.65 juta berbanding RM8.62 juta bagi tempoh sama 2017.

Prestasi pertumbuhan dua angka dicapai didorong oleh permintaan lebih tinggi daripada sektor kesihatan swasta dan awam.

“Syarikat dijangka mencatatkan permintaan kukuh daripada semua segmen perniagaan sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus tahun ini dan peruntukan dalam Bajet 2018 bernilai RM4.1 bilion bagi membekalkan ubat dan barang kepada semua hospital dan kemudahan Kerajaan.

“CCM Duopharma yakin akan dapat memanfaatkan peluang dan mengu­kuhkan penyertaan dalam sektor awam dan swasta selain disokong oleh tinjauan positif bagi industri farmaseutikal pada 2018,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai prestasi kumpulan, Leonard Ariff berkata, pihaknya adalah positif terhadap masa depan dan yakin dengan perniagaan pengkhususan yang bakal melancarkan beberapa produk khusus dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, proses pemisahan perniagaan yang dilakukan baru-baru ini telah membolehkan kumpulan mengukuhkan kedudukan selain meningkatkan produktiviti.

“Kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai mat­lamat menjadi salah satu syarikat farmaseutikal gene­rik yang terkemuka di ASEAN menjelang 2022,” kata beliau.

Pada 28 Disember 2017, CCM Duopharma menjadi sebuah syarikat tersenarai awam bebas selepas menyempurnakan proses pemisahan daripada Chemical Company of Malaysia Berhad (CCMB).

Kumpulan baru-baru ini mencadangkan terbitan bonus sehingga 371,945,333 saham biasa baharu dengan nisbah empat saham bonus untuk tiga saham sedia ada sekali gus mencerminkan asas syarikat yang lebih kukuh berikutan proses pemisahan itu.