LEONARD ARIFF ABDUL SHATAR

Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, industri farmaseutikal halal global bernilai kira-kira AS$83 bilion (RM343.83 bilion) pada 2016 dan dijangka berkembang kepada AS$132 bilion (RM546.81 bilion) menjelang 2022.

Menurut beliau, potensi pasaran berkenaan mungkin lebih besar kerana ia bukan eksklusif kepada masyarakat Islam sahaja.

“Produk halal telah mendapat penerimaan yang tinggi dalam kalangan orang bukan Islam kerana mereka mengaitkan halal dengan penggunaan yang baik seperti nilai-nilai tanggungjawab sosial, pemeliharaan bumi, keadilan ekonomi dan sosial, kebajikan haiwan dan pelaburan yang beretika,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Leonard Ariff, pasaran produk halal global kini dikuasai oleh empat sektor utama iaitu makanan, farmaseutikal, kosmetik dan lain-lain sektor.

Jelasnya, farmaseutikal menjadi sektor kedua terbesar de­ngan menyumbang sebanyak 26 peratus selepas makanan (61 peratus) dan kosmetik (11 peratus).

Katanya lagi, permintaan yang tinggi terhadap farmaseutikal halal memberi potensi yang besar kepada industri dan menjadikan syarikat-syarikat farmaseutikal lebih berdaya saing dalam menembusi industri halal global.

“Kami boleh berbangga kerana Garis Panduan Umum Farmaseutikal MS 2424 Malaysia telah menerajui inisiatif global dalam penubuhan sistem akreditasi dan sistem pengurusan halal yang betul, baik, dikawal selia serta harmoni dalam pembuatan dan pengeluaran.

“Di samping itu ia dapat menangani keseluruhan rantaian bekalan daripada pemprosesan ke pengendalian, pembungkusan, pelabelan, pengedaran, penyimpanan dan paparan ubat-ubatan serta suplemen kesihatan,” ujarnya.

CCM Duopharma merupakan penerima pertama di dunia bagi pensijilan standard Farmaseutikal Halal Global pada 2013 untuk produk kesihatan yang dijual secara terus kepada pelanggan.