Menurut laporan The Edge Markets, Pengerusi CCCC, Liu Qitao berkata, pihaknya yakin projek berkenaan dilaksanakan berlandaskan prinsip perniagaan sebenar, terbuka dan telus.

Kata Liu, penglibatan CCCC mampu menyumbang kepada potensi pertumbuhan di Malaysia.

“Projek ini melibatkan banyak pihak. Saya percaya kerajaan baharu akan mengambil kira perkara ini sebelum membuat keputusan.

“Tambahan pula kehadiran kami di Malaysia adalah untuk mempromosikan pembangunan masyarakat, eko­nomi dan kesejahtera­an rakyat,” katanya dalam persidangan Belt dan Road di sini hari ini.

Baru-baru ini, pentadbiran kerajaan yang dike­tu­a­i oleh Pakatan Harapan (PH) memberitahu bahawa terma-terma dalam projek ECRL akan dinilai semula berikutan kos keseluruhan pelaksanaannya mencecah RM60 bilion.

Tambah Liu, kebimbangan ter­ha­dap ECRL sama seperti yang berlaku pada projek Colombo Port City di Sri Lanka yang mana China Merchant Port Holdings mengambil alih kepentingan sebanyak 85 peratus dalam Hambantota Port melalui pertukaran ekuiti hutang berjumlah AS$1.12 bilion (RM4.52 bilion).

Katanya, pada peringkat awal memang wujud kerisauan terhadap perkara itu namun akhirnya mendapati bahawa ia memberi manfaat kepada penduduk Sri Lanka.

“CCCC beroperasi di lebih 100 buah negara dan risiko terdapat di mana-mana. Ketidaktentuan sentiasa ada dan yang lebih pen­ting setiap projek yang kami rancang dan laksanakan berasaskan permintaan dalaman serta berupaya mewujudkan nilai.

“Sekiranya kami melaksanakan projek yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat setempat selain memberi ancaman kepada ekonomi dan persekitaran, saya fikir risikonya adalah lebih besar. Tidak kira pihak mana yang memerintah, selagi projek tersebut adalah baik maka semua pihak akan yakin terhadapnya,” ujarnya.