Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, dalam tempoh dua tahun pula, CBP meletakkan sasaran kadar pertumbuhan antara 15 hingga 20 peratus dengan jumlah pengeluaran melebihi RM1.1 bilion.

Katanya, CBP kini berada dalam momentum yang betul di bawah pelan strategik lima tahun (2015 hingga 2020) dengan menjangkakan aset pembiayaan bersih meningkat antara 20 hingga 25 peratus manakala baki pembiayaan melebihi RM3.6 bilion menjelang hujung 2020.

“Melihat kepada prestasi semasa dan juga prospek pertumbuhan CBP secara keseluruhan, kami yakin sasaran untuk memberi pulangan terbaik kepada ahli antara lapan hingga 10 peratus menjelang 2020 akan menjadi kenyataan.

“Di samping itu, kami juga optimis dapat membayar dividen sebanyak enam peratus pada 2017 kepada para ahli berbanding 5.5 peratus tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Razak.

CBP kini mempunyai 653 ahli koperasi manakala 80,000 ahli individu.

Pada 2017, CBP merekodkan pendapatan operasi yang tinggi sehingga RM198.6 juta dengan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih RM39 juta.

Pencapaian itu adalah berdasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan yang dicapai pada 2017 hampir RM670 juta, meningkat 35 peratus berbanding 2016 sebanyak RM496 juta manakala aset pembiayaan meningkat lebih 21 peratus daripada RM1.73 bilion tahun sebelumnya kepada RM2.1 bilion.

Menurut Kamari Zaman, selaras dengan pelan strategiknya, CBP akan membuka beberapa lagi cawangan baharu antaranya di Batu Pahat, Temerloh, Kuala Se­langor dan Port Dickson serta meneroka pasaran baharu melalui pengenalan ejen perbankan dan bank bergerak di kawasan yang te­lah dikenal pasti selewat-lewatnya suku kedua tahun ini.

“Selain itu, kami juga akan memberi tumpuan untuk menambah baik rangkaian teknologi maklumat CBP terutama di peringkat cawangan dan meningkatkan produktiviti dalam kalangan tenaga kerja.

“Malah, CBP juga akan melakukan proses perpindahan dari ibu pejabat di Pulau Pinang ke Kuala Lumpur yang pastinya memberi impak yang lebih positif dan menjadi titik tolak perkembangan CBP ke tahap lebih membanggakan,” katanya.