Pengurus Negara bagi Malaysia dan Brunei Cathay Pacific, Anna Choi berkata, program transformasi yang bermula sejak awal tahun ini sehingga 2019 bakal memberi tumpuan kepada perkhidmatan pelanggan yang lebih berkesan termasuk penawaran harga tiket yang kompetitif dan rangkaian laluan baharu.

Katanya, pihaknya sentiasa optimis untuk memberi kualiti dan standard perkhidmatan yang tinggi kepada setiap pe­langgan walaupun terpaksa menanggung kerugian pertama sejak tahun 2008 bagi tahun kewangan 2016.

Jelas beliau, Malaysia juga merupakan antara pasaran pen­ting kepada Cathay Pacific walaupun berhadapan dengan persaingan sengit terutama da­ripada syarikat penerbangan tambang murah.

“Kami telah pun menerima ketibaan penerbangan pertama Cathay Dragon ke Kuala Lumpur pada Mac lalu, dan setakat ini Cathay Dragon terbang 10 kali seminggu ke Pulau Pinang dan lima kali seminggu ke Kota Kinabalu. Secara keseluruhannya, Cathay Dragon akan terbang sebanyak 43 kali seminggu antara Malaysia dan Hong Kong sekali gus memberi pilihan dan kemudahan kepada pelanggan.

“Cathay Pacific kekal komi­ted untuk terus tumbuh pesat dalam pasaran Malaysia dan menyediakan perkhidmatan serta produk pada tahap yang tinggi kepada pelanggan yang terbang ke rangkaian destinasi antarabangsa kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Cathay Pacific menawarkan perkhidmatan penumpang dan kargo berjadual ke hampir 200 destinasi di Asia, Amerika Utara, Australia, Eropah dan Afrika selain menjadi ahli perikatan global Oneworld yang merangkumi rangkaian ke lebih 750 destinasi seluruh dunia.

Cathay Dra­gon, anggota Kumpu­lan Cathay Pa­cific pula memberi per­khidmatan ke 53 destinasi di Asia, termasuk 23 bandar raya di tanah besar China.

Sementara itu, Pengurus Kargo bagi Malaysia Cathay Pacific, Manizam Maulana ber­kata, pihaknya yakin pengurusan kargo dari Malaysia dijangka tumbuh satu digit tahun ini sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran dan pendapatan syarikat.

“Kami berhasrat untuk me­ningkatkan penguasaan pasaran terutama melalui segmen keluar dari Malaysia yang ketika ini merangkumi 30 hingga 40 peratus.

“Jumlah berkenaan dijangka meningkat terutama menjelang suku keempat tahun ini kerana kebiasaannya keba­nyakan kilang cuba me­ningkatkan pengeluaran pada penghujung tahun sekali gus melonjakkan penghantaran barangan kargo,’ katanya.