Setelah itu, dengan berbekalkan pinjaman bank sebanyak RM100,000, saya membuka salun kecantikan dan menganggap ia adalah masa yang amat sukar kerana dengan gaji guru sebanyak RM3,000 sebulan, saya terpaksa membayar balik pinjaman bank sebanyak RM2,000 sebulan, dan menggunakan selebihnya RM1,000 untuk bayar rumah, kereta dan makan.

Pada waktu ini, saya masih menggunakan produk kecantikan daripada jenama pembekal luar. Dengan keuntungan yang saya peroleh daripada salun kecantikan, saya mampu mengeluarkan produk kecantikan di bawah jenama saya sendiri; Vida Beauty. Syukur Alhamdulillah, produk kecantikan saya mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dalam kalangan penduduk tempatan.

Perlu Rajin Menimba Ilmu

Ilmu perniagaan, kemahiran dan pengurusan amat penting dalam menjayakan sesuatu perniagaan. Ada banyak kemahiran yang ada permintaan dalam pasaran. Biasanya, ia berkait rapat dengan aktiviti perkhidmatan dan bukan produk fizikal.

Saya amat meminati bidang kecantikan dan kesihatan. Bagi memulakan perniagaan kecantikan, saya telah menghadiri berapa kursus kecantikan yang disediakan oleh kerajaan secara percuma.

Mungkin anda ada kemahiran dalam menguruskan akaun perniagaan. Banyak syarikat kecil di Malaysia yang tidak mampu membayar gaji pekerja tetap untuk menguruskan maklumat kewangan perniagaan mereka. Syarikat sebegini amat memerlukan kemahiran yang anda ada. Paling mudah lagi jika syarikat tersebut merupakan kepunyaan seorang kawan yang anda kenal. Yang paling penting, anda ada kemahiran hasil daripada pe­ngalaman yang ada sebelum ini yang membuatkan anda lebih cekap berbanding orang lain.

Cuba fikirkan satu kemahiran yang ada dalam diri dan fikirkan siapa yang memerlukan kemahiran itu sekarang. Jika ada, anda boleh segera mulakan merancang bagi mewujudkan perniagaan tersebut tanpa modal. Mudahkan?

Pinjaman Pemudahcara

Saya juga tidak terkecuali daripada mendapatkan pinjaman bank untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Se­perti disebut di atas, saya meminjam sebanyak RM100,000 untuk membuka salun kecantikan dan mengeluarkan produk kecantikan di bawah jenama sendiri. Terdapat juga beberapa bank yang menyediakan skim pinjaman mikrokredit pada peniaga yang ingin memulakan perniagaan dengan modal yang rendah.

Di Malaysia, mikrokredit membawa maksud yang sama dengan ‘pembiayaan mikro’ kerana produk pembiayaan mikro di Malaysia pada masa ini hanya merangkumi pinjaman mikro dan tidak mempunyai produk pembiayaan mikro yang lain (misalnya, Mikro Insurans). Antara institusi-intitusi yang menawarkan kemudahan mikrokredit adalah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Perusahaan mikro sa­ngat penting dalam pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Oleh itu, bermula 2006, kerajaan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi menggalakkan lebih banyak institusi kewangan dalam penawaran produk mikrokredit. Kini, terdapat banyak bank perdagangan dan bank pembangunan yang menyediakan kemudahan mikrokredit.

Pada 2015, kerajaan mewujudkan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai sebuah pusat kecemerlangan pembangunan keusahawanan. Di bawah INSKEN terdapat beberapa pinjaman bersama bank tempatan khusus untuk perniagaan dengan kadar faedah yang lebih rendah berbanding dengan pinjaman perniagaan yang lain.

Labur Keuntungan Perniagaan Dengan Bijak

Selama 14 tahun saya berniaga, kebanyakan keuntungan daripada perniagaan saya telah dilaburkan dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan pelaburan berbentuk takaful. Setelah beberapa tahun melabur saya telah meraih keuntungan daripada pelaburan tersebut sehingga mencecah jutaan ringgit.

Hasil daripada keuntungan pelaburan, saya gunakan untuk membuka rangkaian perniagaan lain seperti produk kesihatan, kedai emas dan modal untuk memasarkan produk saya melalui media elektronik (TV, radio), media cetakan (majalah dan akhbar) dan media sosial (Facebook dan Instagram). Selain itu, dengan hasil pelaburan tersebut juga saya mampu memiliki beberapa buah rumah dan hartanah secara tunai.

Berani Mencuba, Mengambil Risiko dan Jangan Putus Asa

Perkara yang paling penting dalam menjayakan sesuatu perniagaan adalah sikap berani mencuba, mengambil risiko dan jangan mudah berputus asa. Kemanisan sesuatu kejayaan tidak akan dapat dirasai tanpa adanya halangan yang mendatang. Sepanjang 14 tahun berniaga, saya sering kali merasai jatuh dan naik dalam berniaga. Sifat putus asa tidak pernah ada dalam kamus kehidupan saya. Teruskan berjuang dalam berniaga kerana perjuangan tidak akan pernah habis sehingga kejayaan dikecapi sepenuhnya sehingga dapat membantu orang lain.

Selain itu, anda juga perlu berani membuat keputusan dalam apa jua keadaan serta berani mewujudkan satu perniagaan yang baru ataupun berani mencuba perniagaan-perniagaan yang sedia ada dan telah terbukti kejayaannya.

Jika masih ragu-ragu, jangan sesekali terus terjun menjalankan perniagaan tanpa berfikir panjang. Tidak salah untuk cuba menjalankan perniagaan orang lain yang telah berjaya. Praktikkan cara pemasaran mereka dengan memasarkan produk-produk yang sedia ada agar kita lebih mudah untuk belajar di samping menjana keuntungan daripada perniagaan tersebut.

Harapan saya, semoga de­ngan adanya perkongsian ini, dapat membantu dan menjadi panduan bagi sesiapa yang ingin mula belajar berniaga baik tanpa modal ataupun dengan modal. Selamat maju jaya dan selamat mencuba!