Semestinya anda tertanya-tanya apakah rahsia mereka berjaya dalam bidang perniagaan? Pasti timbul keinginan untuk berniaga seperti mereka apatah lagi melihat kehidupan mereka yang semakin senang dan mampu untuk menjalani kehidupan yang luar daripada kebiasaan.

Menjadi kelaziman kepada masyarakat untuk menjadikan seseorang itu sebagai mentor selepas mereka berjaya.

Mereka tidak berminat untuk mengetahui fasa perit, titik peluh dan keringat untuk membangunkan atau menaikkan kejayaan, walhal fasa inilah yang sepatutnya dijadikan iktibar atau pedoman buat usahawan-usahawan yang baru bermula untuk berniaga.

Namun, mereka lebih memilih untuk mengetahui fasa kejayaan seseorang. Atau erti kata lain, mempelajari cara berfikir mereka semasa menaikkan sesuatu perniagaan sehingga berjaya membina suatu empayar perniagaan yang utuh.

Malu bertanya sesat jalan, saya Raja Adi, yang menjalankan perniagaan menjual jam di Instagram @kingjam.orii berkongsi pengalaman saya untuk anda yang baru berniaga.

* Memperbaharui model perniagaan

Setiap usahawan pasti mempunyai mentor mereka sendiri. Pemikiran seorang usahawan berjaya adalah dengan mengenal pasti kegagalan model perniagaan mereka semasa fasa menaikkan perniagaan tersebut.

Adat orang mula berniaga, pasti ada saat permulaan di mana mereka jatuh berkali-kali dan wajib bagi kita untuk mengenal pasti kesilapan yang dilakukan agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah mereka lakukan.

Sama ada dari segi pemasaran, pengurusan kewangan atau pengurusan syarikat, ja­ngan malu untuk bertanya mereka demi pembaharuan model bisnes lama mereka menjadi lebih baik untuk dimanfaatkan.

Dalam dunia perniagaan, teknik ini dipanggil ‘tiruvasi’ yang mana suatu gabungan antara perkataan ‘tiru’ dan ‘inovasi’. Antara formula yang menjadi tunjang kepada industri pembuatan di China adalah dengan meniru ciptaan-ciptaan yang sedia ada dan memperbaiki setiap kelemahan-kelemahan yang ada.

* Kurangkan kos selagi boleh kecuali kos pemasaran

Pemasaran seperti kita tahu adalah nadi kepada sesuatu perniagaan. Tanpa nadi yang memastikan kelangsungan se­se­buah syarikat maka perlahanlah pertumbuhan sesebuah perniagaan itu.

Antara kesilapan usahawan yang baru nak berniaga adalah mereka tersalah tafsir konsep ‘kurangkan kos selagi mampu’.

Sebenarnya frasa itu tidak terpakai untuk pemasaran ke­ra­na sebagai entiti perniagaan yang baharu, ia amat pen­ting agar pembeli mengetahui kewujudan perniagaan kita.

Kita akan lebih menonjol berbanding pesaing-pesaing sekiranya pemasaran yang dilakukan itu berjaya.

Pada masa yang sama menonjolkan jenama dan nilai yang kita tawarkan pada pe­langgan kita nanti. Syarikat-syarikat gergasi seperti McDo­nald menghabiskan sehingga AS$963 juta (RM4 bilion) pada 2016. Hasilnya, ayam goreng mereka yang sudah sekian lama ada dalam pasaran menjadi tular pada tahun 2017!

Ini menunjukkan betapa besarnya impak pemasaran kepada sesuatu perniagaan itu.

Jangan lemah semangat

Persaingan merupakan suatu cabaran kepada perniagaan terutama sekali yang baru nak mula. Akal fikir kita berkata: “Mampukah aku bersaing de­ngan orang yang sudah berniaga lima hingga enam tahun?” Soal persaingan itu perlu ditolak ketepi dahulu.

Yang penting ingin saya tekankan adalah jangan lemah semangat!

Saya juga mengalami masalah yang sama semasa mula-mula membangunkan @kingjam.orii di Instagram memandangkan persaingan yang kuat bukan sahaja daripada pihak luar, malah daripada rakan-rakan saya sendiri yang menjual produk sama.

Tiada istilah ‘memasukkan pasir ke dalam periuk nasi’ apabila bersaing. Apabila strategi perniagaan kita mantap dan tersusun maka kita akan lebih menonjol daripada pesaing-pesaing yang mana mereka mungkin mengambil masa lima hingga enam tahun untuk sampai ke suatu tahap.

Mana tahu rezeki kita, masa itu dapat disingkatkan untuk kita berdiri seiring dengan mereka. Kunci utama adalah jangan melihat ke belakang. Teruskan!

Saya mengalu-alukan sebarang pertanyaan mahupun persoalan, petua atau perkongsian. Ajukan kepada instagram @kingjam.orii yang menjual jam dengan harga yang sa­ngat-sangat berpatutan serta berkualiti tinggi.

Raja Adi Aiman Raja Mohamed Mursid adalah pelajar tahun 2 Bacelor Sains (Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Putra Malaysia.