Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Yee Yang Chien berkata, sebanyak 30 pe­ratus daripada peruntukan itu akan dibiayai menerusi ekuiti manakala selebihnya melalui pembia­yaan bank.

Katanya, daripada jumlah capex itu, sebanyak AS$500 juta (RM1.96 bilion) diperuntukkan bagi tahun ini untuk memperoleh lebih banyak kontrak bagi projek baharu.

“Bagaimanapun peruntukan untuk tahun ini kemungkinan akan meningkat jika kita memperoleh lebih banyak kontrak. Setakat ini, kami melihat terdapat banyak potensi peluang yang boleh diterokai bagi kontrak kapal tangki minyak di Laut Utara dan Utara Amerika Syarikat (AS), yang mana kami mempunyai unit di sana menerusi AET Tankers,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan MISC ke-49 di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi MISC, Datuk Ab. Halim Mohyiddin dan Naib Presiden Kewangan MISC, Rozainah Awang.

Bagi tahun kewangan ber­ak­hir 31 Disember 2017, kumpulan merekodkan perolehan seba­nyak RM10.04 bilion, meningkat 4.6 peratus berbanding RM9.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebe­lumnya.

MISC terlibat dalam empat perniagaan teras iaitu pe­nyelesai­an terapung luar pesisir, penghantaran produk dan petroleum, kejuruteraan berat dan marin serta penghantaran gas asli cecair (LNG). Ia mempunyai aset kese­luruhan bernilai AS$12.4 bilion (RM48.63 bilion) setakat 31 Disem­ber 2017.

Menurut Yang Chien, setakat ini, segmen LNG dijangka me­nyumbang sebanyak 60 peratus kepada pendapatan pada tahun ini ma­nakala 40 peratus lagi menerusi luar pesisir (tidak termasuk petroleum).

Katanya, lebihan bekalan dan pengurangan pengeluaran mi­nyak global yang dilaksanakan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tahun lalu akan diteruskan dan dilihat terus memberi kesan kepada segmen penghantaran perkapalan pada tahun ini.

“Keadaan ini sama dengan segmen penghantaran LNG yang berdepan dengan lebihan bekalan secara berterusan dan menyebabkan pasaran agak sukar tahun ini. Untuk itu, kami lebih fokus untuk melihat perkembangan yang lebih positif pada tahun hadapan,” katanya.