Caj tersebut dijangka memberi kesan kepada keuntungan syarikat minyak tersebut dan bukannya aliran tunai, berdasarkan anggaran yang dibuat oleh satu daripada rakan kerjasamanya dalam projek berkenaan.

Menurut laporan media, Japan Petroleum Exploration Co. (Japex) yang memiliki pegangan 10 peratus dalam konsortium projek LNG Pacific NorthWest, akan mengalami kerugian sebanyak RM349 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac berikutan keputusan yang dibuat Petronas itu.

Jelas penganalisis industri, berpandukan kepada data yang disediakan Japex, bahagian Petronas adalah kira-kira enam kali ganda daripada jumlah yang dipertimbangkan bagi 62 peratus pegangannya dalam konsortium tersebut.

Bagaimanapun, Petronas dalam e-melnya kepada The Star memberitahu, tiada sebarang sebab atau punca yang mendorong kepada keputusan membatalkan projek berkenaan.

Malah, Petronas akan meneruskan strategi jangka panjang untuk membangunkan aset mi­nyak dan gas di Kanada menerusi anak syarikat milik penuhnya, Progress Energy Canada Ltd. (Progress Energy) yang diambil alih pada 2012 pada harga AS$4.42 bilion (RM18.91 bilion).

Progress Energy adalah pemilik terbesar tanah di kawasan North Montney yang kaya de­ngan sumber gas asli.

Petronas memberitahu, pe­nge­luaran di kawasan North Montney meningkat daripada 200 juta kaki padu standard setiap hari (MMsfd) pada 2012 kepada 540 MMscfd pada tahun ini untuk membekalkan gas kepada pasaran domestik Kanada.

“Melangkah ke hadapan, Petronas akan meneruskan strategi pelaburan jangka panjang di Kanada menerusi Progress Energy. Mengenai keputusan ber­kenaan projek LNG Pacific NorthWest, Progress Energy akan menyelaras semula pendekatan strategi untuk memba­ngunkan aset gas North Montney yang bertaraf dunia dengan rakan kerjasama North Montney,” jelas Petronas kepada akbar ber­kenaan.

Projek LNG Pacific NorthWest terdiri daripada konsortium dengan Petronas memiliki 62 peratus pega­ngan, Japex (10 peratus), Petroleum Brunei (tiga peratus), Indian Oil (10 peratus) dan China Petrochemical (Sinopec) 15 peratus.

Jumlah rosot nilai yang dijangkakan jauh lebih rendah daripada anggaran RM20 bilion dibuat firma pelaburan tempatan berikutan keputusan Petronas itu.

Menurut AmInvestment Bank, dalam senario paling buruk pun, ia boleh mencecah paling tinggi RM20 bilion, mengambil kira kepentingan Petronas dalam ke­seluruhan projek itu, termasuk Progress Energy.

Namun, keputusan Petronas itu tidak akan memberi sebarang kesan ketara kepada peruntukan perbelanjaan (capex) kumpulan yang telah banyak dibelanjakan di Malaysia.