MOHAMAD IDHAM NAWAWI
MOHAMAD IDHAM NAWAWI

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Mohamad Idham Nawawi (gambar) berkata, pihaknya turut memberi rebat cukai kepada pelanggan yang telah membeli pelan prabayar sejak 1 September lalu.

Katanya, Celcom me­nyambut baik dan mengalu-alukan keputusan kerajaan yang memberi pengecualian cukai SST kepada perkhidmatan berkenaan.

“Langkah itu dilihat memberi impak positif kepada pengguna prabayar kerana telekomunikasi mudah alih telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

“Celcom juga komited untuk menyediakan pelanggan dengan pakej mampu milik yang mana ia selari dengan aspirasi dan inisiatif kerajaan dalam membangunkan kebajikan rak­yat menerusi rangkai­an kami yang luas di seluruh negara,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Kad nilai tambah prabayar telefon yang sepatutnya tersenarai antara barangan bebas SST tetap dikenakan cukai berkenaan yang mana ia mendatangkan rungutan daripada orang ramai.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan mengumumkan pengecualian SST ke atas perkhidmatan prabayar dan semua syarikat telekomunikasi perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera dalam mematuhi penetapan pengecualian cukai tersebut.