Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding terbitan pada 2016.

“Kami kekal positif untuk tahun 2018 serta bersedia meme­nuhi peranan sebagai perantara pasaran modal dan sektor perumahan,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Sementara itu, Chee Leong berkata, Cagamas menerbitkan Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) lima tahun berjumlah RM300 juta.

Menurut beliau, CMTN itu diterbitkan di bawah Program Nota Jangka Sederhana bernilai RM40 bilion.

Katanya lagi, hasil terbitan berkenaan akan digunakan untuk membeli pinjaman bercagar dalam sistem kewangan.

“Pada pertengahan bulan ini kadar Dana Persekutuan Amerika Syarikat telah meningkat sebanyak 25 mata asas (bps) selain jangkaan pasaran domestik terhadap potensi kenaikan mendadak dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Bon konvensional lima tahun ini dinilaikan pada harga kompetitif iaitu 4.25 peratus yang mewakili 64 mata asas melebihi penanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia lima tahun,” katanya.

Chee Leong menambah, terbitan berkenaan akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila sampai tempoh matang yang merupakan tanggungan tidak bercagar oleh syarikat yang mempunyai kedudukan dan taraf yang sama antara mereka berserta dengan semua tanggungan tidak bercagar sedia ada.