PIC yang dijangka memulakan operasi pada suku pertama 2019 merangkumi Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan beberapa fasiliti sokongan lain mengambil masa 60 bulan untuk disiapkan bermula dari tarikh keputusan pelaburan akhir (FID) pada April 2014.

Daripada kawasan seluas 2,526 hektar itu, 404 hektar diperuntukkan bagi kawasan tempat tinggal dan kemudahan untuk para pekerja merangkumi kedai serbaneka, tempat ibadat, panggung wa­yang percuma dan kemudahan sukan termasuk padang kriket.

Selain itu, Petronas turut menyediakan perkampungan eksekutif untuk petugas pengurusan dikenali sebagai The Hive yang mempunyai kemudahan kafeteria­, rumah kelab dan penginapan.

Kem Tecnicas Reunidas misal­nya, satu daripada kem yang mengendalikan paling ramai pekerja iaitu 5,900 orang dari Malaysia, China, Vietnam, Pakistan dan Bangladesh. Ia mempunyai 16 blok untuk pekerja, empat blok untuk penyelia dan satu blok untuk pengurusan manakala kafete­rianya beroperasi selama 24 jam.

Tecnicas Reunidas adalah syarikat kontraktor yang berpangkalan di Sepanyol dan menyediakan per­khid­matan dalam kejuruteraan, perolehan dan pembinaan bagi perindustrian dan loji janakuasa terutama dalam sektor minyak dan gas.

Menurut Penolong Pengurus Kem Tecnicas Reunidas, Ezan Hajih, antara perkara paling mencabar bagi mereka di situ ialah penyediaan makanan memandangkan ia melibatkan jumlah pekerja yang ramai.

Kumpulan media juga tidak ketinggalan dibawa melihat sendiri petugas kafe yang mula sibuk menyediakan makanan seawal empat pagi. Kem tersebut mempunyai 50 pekerja di bahagian dapur dengan tukang masaknya mengikut negara masing-masing manakala pelayan pula seramai 104 orang.

Jelas Ezan, kesemua aspek penyediaan makanan di situ adalah halal walaupun menu yang disediakan adalah mengikut negara asal pekerja.

“Dalam sehari kita memasak hampir 400 beg beras untuk menampung keperluan semua pekerja,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Beliau berkata, pihaknya juga amat mementingkan aspek kebersihan dan akan memastikan ia memenuhi standard piawaian ditetapkan oleh pejabat kesihatan bagi mengelakkan pekerja mengalami sebarang masalah kesihatan.