Mengakui keputu­san yang dibuat ada­lah sesuatu yang amat sukar me­mandang­kan anak-anaknya ketika itu masih kecil, beliau beranggapan ia adalah sebagai satu langkah baharu bagi memulakan kehidupan.

Ketika itu, suaminya yang bekerja sebagai jurutera turut kehilangan pekerjaan dan terpaksa memandu teksi untuk tempoh 10 bulan bagi menampung pendapatan keluarga.

Nekad membantu meringankan beban suaminya, Norli memulakan perniagaan biskut tat nanas secara kecil-kecilan dan ia dijual kepada rakan-rakan dan keluarga.

Mengakui kuasa pemasaran word of mouth banyak membantu terutamanya dalam aspek pemasaran, Nor­li berkata, pembungkusan produk juga memainkan peranan penting dalam menarik minat para pembeli.

“Jika dahulu sebelum mengikuti bengkel dan latihan yang dikelolakan agensi-agensi seperti Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas dan SIRIM, saya memang tidak tahu pentingnya teknik pembungkusan yang betul. Maklumlah saya bermula secara kecil-kecilan.

“Selepas beberapa kali menjalani latihan dan mula ‘terbang’ dan menyertai banyak ekspo keusahawanan, Alhamdulillah produk Yusa Food sering mendapat perhatian pembeli,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yusa Food juga merupakan pe­ne­rima geran Sirim-Fraunhofer yang membolehkan syarikatnya menerima bungkusan produk yang lebih menarik bagi dipasarkan ke pasaran tempatan dan eksport.

Norli berkata, beliau meng­ambil masa selama tujuh tahun bagi menjalankan perniagaan dari rumah sebelum berupaya berpindah ke premis perniagaan biapun ketika itu masih menggunakan sistem ejen untuk memasarkan produknya.

“Kemudian trend berubah, perniagaan melalui ejen dilihat tidak berapa menguntungkan jadi saya kena buat sesuatu. Bermula 2012 saya mula mengikuti program-program anjuran agensi-agensi kerajaan dan seterusnya memiliki kiosk pertama saya di SACC Mall Shah Alam," katanya.

Beliau berkata, kini Yusa Food memiliki kiosk di The Curve, Publika, Subang Parade dan Sunway Putra Mall.

“Sebenarnya konsep berniaga di pusat beli-belah ni kita kena melihat kepada pengunjung yang datang. Sebagai contoh kalau di pusat beli-belah yang besar seperti Mid Valley, pengunjung yang datang sudah tidak fokus untuk melihat produk-produk yang dijual di kiosk-kiosk kecil, sebab mereka lebih tertarik dengan jenama-jenama besar.

“Sebab itulah saya lebih fokus kepada pusat beli-belah yang berskala kecil tetapi ramai pengunjung seperti Sunway Putra Mall ini. Tidak semestinya lokasi kiosk di tempat tumpuan dapat menjana jualan yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu Norli berkata, beliau komited menghasilkan produk makanan halal dan berkualiti tinggi bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Memang kalau orang lihat biskut macam yang saya jual ini ada banyak di pasaran, tetapi apa yang pembeli perlu tahu adalah kami menggunakan bahan-bahan premium dan berkualiti tinggi bagi menjamin keselamatan dan kesegaran biskut yang dihasilkan,” katanya.

Kiosk pertama Yusa Food di SACC Mall Shah Alam

Kini memiliki kiosk di The Curve, Publika, Subang Parade & Sunway Putra Mall

Yusa Food terima latihan MARDI, Lembaga Perindustrian Nanas & SIRIM

Mula sertai ekspo keusahawanan 
secara aktif 
2012