“Siaran akhbar MAHB memberikan AirAsia peluang yang baik untuk memberi maklum balas daripada pihak kami berkenaan Kota Kinabalu dan insentif. Juga kurangnya sokongan bagi membangunkan pengembaraan kos rendah dan kehilangan berbilion ringgit kepada ekonomi negara.

“Insentif diberikan kepada semua syarikat penerbangan. Bukan hanya AirAsia. Kami membina sebuah perniagaan yang besar bagi MAHB. Dari segi sokongan, tetapi perkara sebaliknya yang diberikan,” jelasnya dalam perkongsian menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Tambah beliau, KLIA2 merupakan kekuatan lapangan terbang AirAsia terakhir. Apa-apa sahaja yang disediakan seharusnya lebih baik daripada itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan semalam berkata, AirAsia Group Bhd. telah memperoleh faedah lebih kurang RM376 juta hasil daripada pelbagai program insentif yang disediakan oleh syarikat pengendali lapangan terbang tersebut.

Beliau berkata, syarikat telah menyokong pertumbuhan pengembaraan kos rendah menerusi pelbagai program sejak 2002.

“MAHB memainkan peranan penting kepada pertumbuhan pengembaraan kos rendah negara, malah memberikan AirAsia faedah bernilai RM376 juta menerusi pelbagai program insentifnya sehingga tahun lepas,” katanya.

MAHB bukan sahaja menyediakan infrastruktur dengan pembinaan terminal kos rendah pertama di Asia Tenggara bernilai RM360 juta pada 2006 sebelum pembukaan KLIA2, tetapi juga dengan pelbagai program insentif sejak 2002 yang memanfaatkan AirAsia.

Insentif tersebut termasuk Program Sokongan Infansi (2002-2007) dan Program Insentif Yang Dipertingkatkan (2007-2009) yang diberikan eksklusif kepada AirAsia.

Selain itu, terdapat juga tiga program insentif lain seperti Pelan Pemulihan Syarikat Penerbangan untuk membantu syarikat penerbangan pulih dari krisis kewangan global antara 2009 dan 2011.

“Walaupun AirAsia menjadi pemacu utama pertumbuhan ini, kerajaan bersama MAHB berpe­ranan penting untuk memboleh­kan dan menyokong sepenuhnya pengembangan pengembaraan kos rendah bagi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Tahun lepas, AirAsia menafikan dakwaan MAHB bahawa ia menerima layanan istimewa atau insentif khusus daripada pengendali lapangan terbang berkenaan.

Mengulas lanjut Tony berkata, AirAsia mampu untuk mencapai lebih banyak pengembangan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekiranya MAHB bekerjasama dengan syarikat pe­nerbangan itu yang juga merupakan pelanggan terbesar MAHB.

“Mereka monopoli dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) seharusnya mengawal perkara tersebut. Diharapkan, ia akan berlaku pada masa depan.

“Sandakan, Sibu, Tawau, Pulau Pinang, Melaka dan Kuching, semuanya mempunyai potensi yang besar dengan sokongan lapangan terbang yang tepat,” tambah beliau.