Namun pada masa yang sama, Ketua Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning menegaskan, pihak­nya tidak merancang untuk membuka cawangan baharu dalam masa terdekat, sebaliknya memberi tumpuan memperkukuhkan operasi sedia ada di 403 ca­wangan di seluruh negara.

"Pada masa ini BSN tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk mengurangkan pekerja atau cawangan yang banyak terdapat di kawasan luar bandar, sebaliknya kita berhasrat untuk menambah perkhidmatan ejen bank berdaftar di seluruh negara.

“Perkhidmatan kita bukannya berkisar soal keuntungan semata-mata, tetapi menyediakan akses perkhidmatan perbankan dan pembiayaan kepada masyarakat di seluruh pelosok negara,” katanya selepas majlis perasmian bangunan baharu Cawangan Utama BSN Johor di Jalan Abdullah Ibrahim, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah yang turut mengumumkan nama bangunan baharu berkenaan sebagai Wisma Muafakat.

Adinan berkata, bank yang ditubuhkan pada tahun 1974 itu kini mempunyai 7,200 pekerja yang berkhidmat di 403 ca­wangan di seluruh negara.

Menurutnya, hingga kini BSN mempunyai kira-kira 7,000 ejen berdaftar di seluruh negara dan menyasarkan

peningkatan antara 500 hingga 1,000 orang pada tahun ini.

“Setakat ini, BSN juga mempunyai pendeposit lebih 9.19 juta orang dengan nilai antara RM15 bilion hingga RM20 bilion. Kita turut menyasarkan peningkatan pendeposit antara 50,000 dan 100,000 orang setahun yang majoritinya terdiri daripada pelajar,” kata­nya.

Mengenai Wisma Muafakat, beliau berkata, ba­ngunan tersebut dibina sejak April 2013 dan siap akhir tahun lalu dengan kos RM60 juta.

Bangunan berkenaan mempunyai 10 tingkat ruang pejabat dan tiga tingkat bawah tanah di tapak seluas 2,137 meter persegi serta dilengkapi dengan kemudahan seperti pusat latihan, surau, nurseri, gimnasium dan kafeteria.