Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, kejayaan itu telah menepati hasrat Perdana Menteri yang menetapkan keperluan tersebut dapat direalisasikan di seluruh negara.

"Kebanyakan mukim dan daerah di seluruh negara sudah dapat menikmati perkhidmatan perbankan yang disediakan itu.

"Kemudahan perkhidmatan ini telah memberi manfaat kepada rakyat selain melancarkan aktiviti berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat BSN cawangan Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, sebanyak 398 EBB telah disediakan di Kelantan dan kebanyakannya membabitkan perkhidmatan di kedai runcit dan stesen minyak.

Katanya, di daerah ini sahaja, sebanyak 49 perkhidmatan EBB disediakan khususnya di kedai-kedai runcit sekali gus memudahkan penduduk di kawasan berkenaan berurusan.

"Konsep EBB adalah usaha kerajaan yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat di bawah Kementerian Kewangan untuk merakyatkan sistem perbankan di seluruh negara," katanya.

Terdahulu, sempena lawatannya ke Pengkalan Kubor hari ini, Ahmad turut sempat mengunjungi pondok An Najmiah di Geting di sini bersama beberapa pemimpin setempat.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, pondok moden empat tingkat yang siap dibina awal tahun lepas melalui peruntukkan RM2 juta daripada Kerajaan Pusat itu telah memberi keselesaan kepada lebih 30 pelajar.

"Pembinaan pondok moden ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu perkembangan pendidikan agama Islam di Kelantan.

"Ini membuktikan kerajaan terus memberi perhatian dalam usaha mempertingkatkan syiar Islam di negeri ini sekaligus menepis tohmahan sesetengah pihak yang sebelum ini sering kali menuduh Kerajaan Pusat berat sebelah," katanya.