Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, pihaknya masih dalam proses rundingan dengan Khazanah dan sebarang keputusan belum boleh dapat diputuskan.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan syarikatnya turut terjejas berikutan kemelut kewangan dalam MAS yang diburukkan lagi oleh insiden kehilangan dua pesawatnya tahun lalu.

“Namun kita optimis MAS tetap menjadi pelanggan utama Brahim's Airline Catering (BAC). Walaupun kami bukan syarikat yang memperoleh keuntungan berbilion ringgit, tetapi kami sedia membantu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Teknologi Inovasi Syariah Mesin Pembasuhan Sertu di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Ibrahim, BAC yang kini membekalkan makanan kepada 36 syarikat penerbangan sedang mengadakan rundingan untuk kemasukan dua lagi syarikat iaitu Air France dan Lufthansa selain British Airways yang bakal menjadi pelanggan kami tidak lama lagi.

Selain itu katanya, BAC dalam masa sama sedang memperluaskan skop perniagaan daripada katering kepada industri makanan dan minuman (F&B) dengan menjadi francais Burger King di Malaysia dan Singapura.

“Oleh kerana kita sudah mempunyai pengalaman dan kemudahan dalam industri makanan dan minuman maka akan menjadi lebih mudah menceburi dalam bidang yang serupa,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, BHB berjaya mewujudkan mesin pembasuhan berkonsepkan sertu pertama di dunia yang memenuhi piawaian ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, mesin pembasuhan industri untuk mencuci pinggan dan peralatan makan yang digunakan oleh penumpang dalam kapal penerbangan telah diinovasikan oleh BAC melalui kerjasama JAKIM.

“Tujuan mesin itu untuk membersihkan peralatan makan yang diragui tercemar dengan makanan yang tidak halal dari syarikat penerbangan luar. Semua peralatan makanan yang akan digunakan semula oleh BAC perlu melalui prosedur pembasuhan secara sertu dahulu,” katanya.