Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, perniagaan berasaskan penerbangan kumpulan itu menyumbang kira-kira 85 peratus kepada hasil kumpulan setakat ini.

“Kami akan terus memajukan perniagaan penerbangan ini bagi meningkatkan segmen perniagaan katering. Namun, pada masa sama, kami juga mahu meningkatkan sektor bukan penerba­ngan termasuk gudang Tamadam, 15 restoran di lapangan terbang di bawah Dewina Host Sdn. Bhd. serta perniagaan sajian makanan lain.

“Kemampuan kami juga besar dan produknya boleh dihantar ke serata tempat,” katanya pada taklimat media mengenai usaha sama halal kumpulan itu, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SATS Food Services Sdn. Bhd., Ainul Hasnizam Abu Hasan berkata, syarikat ka­tering halal (dalam pesawat) terbesar dunia itu pula menyasarkan meraih hasil RM30 juta hingga RM40 juta daripada segmen sajian makanan bukan penerbangan dalam masa dua tahun akan datang.

Menurutnya, unit Brahim’s itu juga baru sahaja memuktamadkan kontrak katering dengan pelbagai pihak termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB), 7-Eleven dan ruang menunggu bagi penumpang syarikat penerbangan Emirates.

Selain itu, Ibrahim berkata, syarikat pegangan persendirian, Dewina Holdings Sdn. Bhd. turut mengendalikan syarikat katering hasil usaha sama dengan pihak Koperasi Angkatan Tentera.

Sehubungan itu, katanya, kumpulan berkenaan kini memberi tumpuan untuk memperkukuh­kan operasi menerusi penggabungan syarikat awam dan persendiriannya bagi memacu pertumbuhan perniagaan.

Mengulas penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (Mihas 2017), Ibrahim berkata, ini merupakan kali pertama syarikat-syarikat di bawah kumpulan itu bergabung bagi mengetengahkan penyelesaian komprehensif perniagaan halal.

Ini termasuk mengetengahkan kecemerlangan perniagaan dan kecekapan kumpulan dalam pe­ringkat pengeluaran, pemasaran, perundingan sehinggalah kate­ring.

Syarikat yang terbabit termasuk Dewina Food Industry Sdn. Bhd. (cabang pengeluaran), Dewina Trading Sdn. Bhd. (pemasaran dan jualan), Dewina Consult Sdn. Bhd. (memiliki kepakaran dalam projek industri halal, perundi­ngan, pensijilan dan latihan) serta SATS.

Ibrahim berkata, kumpulan itu juga berhasrat untuk muncul sebagai syarikat inovasi halal nombor satu dunia dalam industri makanan dan pengeluaran menjelang 2020 dengan memanfaatkan revolusi perniagaan dan penyelesaian halal. – BERNAMA