BPB dalam kenyataannya berkata, harga tersebut dinilai atas dasar persetujuan antara pembeli dan penjual selepas mengambil kira nilai pasaran tanah yang ditaksir oleh juru nilai bebas.

Katanya, tanah itu akan dibeli oleh anak syarikat milik penuh BPB, Boustead Rimba Nilai Sdn. Bhd..

“Pemerolehan terbaharu ini merupakan peluang yang berdaya maju bagi Kumpulan untuk menggantikan tanah-tanah yang dilupuskan di Semenanjung Malaysia dengan tanah perladangan yang sesuai di Sabah pada kos yang lebih rendah.

“Setelah urusan ini selesai pada suku pertama 2019 jumlah simpanan tanah perladangan BPB akan meningkat sebanyak lima peratus kepada 98,300 hektar. Ia juga bersamaan dengan pertambahan sebanyak enam peratus bagi jumlah kawasan yang bertanam daripada 75,000 hektar kepada 79,400 hektar,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, tanah berkenaan terletak berhampiran dengan ladang BPB sedia ada yang membolehkannya mencapai skala ekonomi dan kecekapan operasi yang lebih tinggi di samping mengukuhkan kedudukan pasaran Kumpulan di Sabah.

Menurutnya, cadangan pemerolehan itu turut melibatkan sebuah loji minyak sawit yang secara tidak langsung akan mengurangkan perbelanjaan modal Kumpulan untuk membina loji baharu.

“BPB bercadang untuk meningkatkan kapasiti loji daripada 75 metrik tan sejam kepada 90 metrik tan sejam. Syarikat yakin pelaburan ini memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan dan prestasi kewangan Kumpulan,” katanya. - UTUSAN ONLINE