LODIN WOK KAMARUDDIN
LODIN WOK KAMARUDDIN

Naib Pengerusi Boustead Plantations, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, bagi suku tahun yang dilaporkan, harga jualan purata minyak sawit mentah (CPO) adalah RM2,491 per tan metrik, 21 peratus lebih rendah berbanding RM3,166 per tan me­trik suku sama tahun sebelum­nya, manakala harga minyak isirung sawit purata merosot sebanyak 32 peratus kepada RM2,188 per tan metrik.

Beliau berkata, suku tahun pertama ini mencabar memandangkan harga produk mi­nyak sawit memberi kesan terhadap kumpulan.

“Pada tahun ini, bekalan mi­nyak sayuran alternatif dijangka meningkat, lantas memberikan tekanan terhadap permintaan bagi CPO dan menyebabkan pe­ningkatan inventori minyak sawit.

“Bagaimanapun, pasaran CPO boleh mendapat manfaat daripada kemungkinan kadar tarif yang lebih tinggi yang dikenakan oleh China bagi kacang soya dan juga langkah Kesatuan Eropah (EU) memansuhkan duti antilambakan terhadap biodiesel Indonesia.”

“Melangkah ke hadapan, kami yakin terhadap prospek dalam usaha kami meneruskan tumpuan terhadap kecekapan operasi yang disokong oleh peluasan strategik simpanan tanah perladangan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lodin, pengeluaran hasil tanaman pengeluaran tandan buah segar (FFB) bagi suku tahun dilaporkan meningkat sebanyak 8 peratus kepada 226,323 per tan metrik, terutamanya berbekalkan hasil lebih tinggi selepas El-Nino.

Semenanjung mencatatkan keuntungan lebih rendah berjumlah RM11 juta terutamanya disebabkan oleh penurunan ke­tara harga minyak, manakala FFB pula me­ningkat sebanyak tiga peratus kepada 92,906 per tan metrik.

Beliau berkata, Sabah menca­tatkan keuntungan operasi sebanyak RM3 juta, lebih rendah berbanding suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya.

“Sementara itu, Sarawak mencatatkan defisit berjumlah RM5 juta disebabkan oleh harga produk sawit dan pengeluaran tanaman lebih rendah. Tanaman FFB untuk tempoh tersebut merosot kepada 28,765 per tan metrik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pemerolehan tanah berjumlah 11,579 hektar di Sabah baru-baru ini bakal memberikan sumbangan positif kepada kumpulan, manakala cada­ngan pembelian 5,500 hektar tanah perladangan dan kilang minyak sawit di Sabah akan terus mengukuh­kan keuntungan kumpulan dalam jangka panjang.

“Cadangan pelupusan 139 hektar tanah yang dijangka selesai menjelang suku ketiga 2018 juga bakal memberikan sumbangan yang lebih lagi kepada tahap keuntungan kami,” katanya.

Lembaga Pengarah Boustead Plantations mengisytiharkan dividen interim pertama seba­nyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dan dividen akan dibayar pada 27 Jun 2018 kepada peme­gang saham yang tersenarai dalam daftar pemegang saham pada 8 Jun 2018.