Naib Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, untung sebelum cukai melonjak kepada RM733 juta dan hasil naik kepada RM760 juta.

Jelas beliau, prestasi positif itu sebahagian besarnya dipacu oleh perolehan sebanyak RM555 juta daripada penjualan tanah di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Selain itu, peningkatan keuntungan operasi turut me­nyum­bang susulan hasil tanaman yang lebih baik dan harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun harga CPO dijangka lebih rendah pada masa hadapan disebabkan peningkatan dalam pengeluaran melebihi penggunaan minyak sawit. Pertambahan kawasan tanaman kacang soya di Amerika Syarikat (AS) dan persaingan dari Indonesia juga dijangka memberi tekanan kepada pasaran CPO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lodin berkata, cadangan pembelian 11,600 hektar tanah ladang yang merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan kumpulan dijangka selesai menjelang suku kedua 2018.

Menurutnya, langkah itu membolehkan syarikat mengukuhkan potensi pendapatan dalam jangka panjang.

Katanya lagi, ladang di Semenanjung menjadi penyumbang utama kepada keuntungan kumpulan dengan mencatatkan kenaikan untung sebanyak 41 peratus kepada RM108 juta berbanding RM77 juta pada tahun sebe­lumnya.

“Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan harga CPO. Keluaran tandan buah segar (FFB) me­ningkat 11 peratus kepada 428,546 tan metrik hasil pengeluaran yang lebih baik daripada ladang utara dan pokok kelapa sawit matang muda daripada ladang di pantai timur.

“Sabah menyumbang keuntu­ngan lebih tinggi sebanyak RM85 juta dibantu pertambahan hasil tanaman walaupun berdepan kekurangan pemetik buah sawit bagi pokok sawit tinggi dan cuaca buruk. Ladang di Sarawak pula mencatatkan keuntungan lebih rendah iaitu sebanyak RM7 juta disebabkan peningkatan perbe­lanjaan operasi dan penyusutan pengeluaran FFB,” kata beliau.