Bakal disiapkan pada suku keempat 2017, kilang itu menjadi lokasi ketujuh Boston Scientific di luar Amerika Syarikat selepas tiga di Ireland, dua di Costa Rica dan satu di Puerto Rico.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Pembuatan dan Pengedarannya, Dave Mitchell berkata, operasi di Pulau Pinang akan menyokong perkembangan mereka serta memberikan lebih perkhidmatan kepada pakar perubatan dan pesakit di rantau Asia Tenggara.

"Malaysia adalah satu lokasi strategik yang dilengkapi kemudahan yang selesa untuk perniagaan terutamanya berkaitan sektor peralatan perubatan.

“Kemudahan di Pulau Pinang ini akan menjadi komponen utama kewujudan Boston Scientific di Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah kilang itu hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong.

Tambah Mitchell, pihaknya turut melabur dengan mewujudkan tujuh institut latihan serantau kepada pakar perubatan dan profesional lain dalam bidang perubatan.

Selain itu, jelasnya, syarikat juga membina kemudahan penyelidikan dan pembangunan global dengan hasrat untuk membawa aspek perubatan terbaik kepada penjagaan pesakit.

“Pada masa ini Boston Scientific membekalkan teknologi perubatan kepada 15 pasaran di serata Asia dengan produk kami digunakan untuk mengesan pelbagai keadaan perubatan termasuk jantung, perkumuhan, pulmonari serta beberapa penyakit kronik.

“Bersama pejabat komersial di Kuala Lumpur, kilang seluas 34,838 meter persegi ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 400 pekerja dalam tempoh beberapa tahun,” ujarnya yang enggan mendedahkan jumlah pelaburan itu.

Sementara itu, Chee Leong berkata, industri peralatan perubatan menyediakan banyak peluang dalam landskap ekonomi Malaysia dan kehadiran Boston Scientific dijangka memainkan peranan penting dalam aspirasi negara menjadi negara maju pada 2020.

Ujarnya, kehadiran Boston Scientific di Pulau Pinang juga mampu merealisasikan sasaran Malaysia mencapai pulangan sebanyak RM17.1 bilion serta menyediakan 86,000 peluang pekerjaan pada 2020.