Penolong Gabenor BNM, Marzunisham Omar berkata, NSFR memberikan unjuran tempoh matang selama setahun bagi aset dan liabiliti dalam keadaan perniagaan yang biasa.

Jelas beliau, NSFR menambah baik Rangka Kerja Mudah Tunai (LR) dengan menganggarkan jumlah pendanaan stabil yang diperlukan oleh bank untuk membiayai pelbagai aktiviti berkaitan perniagaan mereka.

“NSFR adalah pelengkap kepada Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (LCR). LCR dikuatkuasakan di Malaysia sejak Jun 2015 bagi memastikan bank mempunyai aset mudah tunai berkualiti tinggi yang mencukupi dalam persekitaran mencabar selama 30 hari.

“Apabila pasaran semakin faham LCR dan NSFR, ia akan mewujudkan rangka kerja yang lebih mantap untuk memberikan maklumat berhubung dengan risiko mudah tunai,” katanya dalam taklimat ringkas NSFR di sini semalam.

Marzunisham menambah, NSFR dijangka dilaksanakan selepas Januari 2019 yang mana tarikh sebenar akan diputuskan kemudian.

Menurut beliau, masih terdapat ketidaktentuan dalam perlaksanaan NSFR di peringkat antarabangsa kerana terdapat beberapa negara yang masih belum memberikan pengesahan.