Timbalan Gabenor BNM, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, pelaksanaan strategi selama lima tahun berkenaan telah disuarakan melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FE Network) yang diwujudkan tahun lalu bagi memberi pendedahan terutama kepada belia mengenai simpanan dan pelaburan.

Menurutnya, kedudukan kewangan yang baik merupakan prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi negara produktif, berdaya tahan dan bersifat inklusif serta memerlukan masa yang panjang.

Sehubungan dengan itu kata­nya, pelaksanaan strategi nasio­nal itu nanti adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan di bawah kluster kewangan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kesejahteraan kewangan bukanlah bermakna perlu menjadi kaya kerana ia lebih kepada ke­upayaan untuk berbelanja mengikut kemampuan dan membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab.

“Lima keutamaan bagi strategi celik kewangan ini telah dikenal pasti merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk menyemai nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sehinggalah menerap kelakuan positif kepada golongan dewasa dan menyediakan persekitaran bagi memudahkan rakyat bersara dengan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Kebangsaan bertajuk ‘Ke Arah Strategi Pendidikan Kewangan Kebangsaan yang Efektif bagi Malaysia’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Datuk Dr. N. Marimuthu; Presiden Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Datuk Dr. Paul Selvaraj dan Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia, Lee Lung Nien.

Persidangan anjuran bersama FOMCA, ERA Consumer Malaysia dan Citi Malaysia dengan kerjasama BNM tersebut mengkaji keperluan dan skop strategi pendidikan kewangan kebangsaan di Malaysia selain mengenal pasti strategi dan struktur bersesuaian serta kaedah pelaksanaan yang berkesan.

Mengulas lanjut, Shaik Abdul Rasheed berkata, pelan tindakan strategik akan direncanakan kepada orang ramai termasuk bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar.

“Aspek ketelusan adalah bertujuan untuk mempunyai visi jelas mengenai kesejahteraan kewangan sekali gus meningkatkan kadar celik kewangan manakala kerjasama memerlukan usaha kukuh dan jangka masa panjang daripada semua pemegang amanah termasuk golongan pengawal selia, sektor awam dan swasta, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan pengguna sendiri.

“Tujah komitmen pula akan merangkumi pendekatan berorientasikan hasil kepada pelaksa­naan,” katanya.