Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, tujuan utama sekatan tersebut dilakukan adalah untuk mengekang peningkatan harga perumahan yang semakin tinggi.

Katanya, golongan profesional bidang hartanah seharusnya melihat langkah tersebut secara positif kerana tindakan berkenaan amat penting kepada pembangunan hartanah.

“Harga hartanah yang sema­kin tinggi pada asasnya dianggap berpunca daripada peningkatan pendapatan dan pembelian perumahan yang signifikan oleh warga tempatan dan asing yang mempunyai kuasa pembelian.

“Langkah yang diambil kerajaan tepat pada masanya bagi menangani masalah ketidakseimbangan terutamanya pembeli pertama tidak akan berdepan masalah untuk memohon pinjaman perumahan,” katanya dalam Majlis Penyampai­an Sijil dan Anugerah Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (BOVAEA) di sini malam ini.

Yang turut hadir Presiden BOVAEA, Dr. Rahah Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Polisi Strategik), Nordin Daharom dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi), Dr. Zailan Isa.

Beliau kemudiannya menyampaikan Diploma Perejenan Hartanah kepada 78 pelajar yang mengambil kursus berkenaan dengan BOVAEA selain penyampaian sijil pendaf­taran penilai dan ejen hartanah ma­sing-masing seramai 36 dan 28 orang.

Dalam pada itu, Othman berkata, kerajaan berharap lebih ramai go­longan profesional dalam bidang hartanah dapat dilahirkan bagi menghadapi cabaran persekitaran sektor hartanah yang semakin dinamik.

Katanya, peranan golongan profesional bidang hartanah seperti penilai, pentaksir dan ejen harta­nah amat penting kepada ekonomi negara di samping mengembangkan pasaran hartanah.

“Namun begitu, golongan bertauliah ini perlu diingatkan supaya sentiasa mempunyai kadar profesionalisme dan integriti yang tinggi serta mengikut peraturan yang telah ditetapkan BOVAEA.

“Golongan profesional ini juga seharusnya bersedia dan mempersiapkan diri dengan kepakaran, amalan standard, maklumat dan sumber bersesuaian bagi meneroka lebih banyak peluang di dalam dan luar negara,” katanya.