Menurut BNM, orang ramai kini mendapat manfaat daripada penga­turan yang dipersetujui bersama antara PIAM dengan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM) terhadap beberapa perkara terutama untuk menyelesaikan pertikaian antara bengkel dengan syarikat insurans berhubung pembayaran tuntutan insurans untuk pembaik­an ken­deraan motor.

Ini kerana katanya, pertikaian tersebut mengakibatkan kelewatan yang berpanjangan dalam kerja pembaikan sekali gus membebankan pengguna.

“Dalam perkara ini, BNM turut menerima aduan berhubung de­ngan kerja pembaikan yang kurang memuaskan. Pada 2011 sahaja, BNM menerima lebih daripada 500 aduan berhubung perkara ini sebelum pelaksanaan pengatur­an dan kini berkurangan sebanyak 50 peratus.

“Atas sebab itu, sebarang keputusan untuk mengkaji se­mula pengaturan ini secara berasi­ngan daripada pembaharuan ini tanpa mengambil kira kepen­tingan penggu­na akan menghalang orang ra­mai daripada mendapat manfaat penyelesaian tuntutan insurans motor yang diselesaikan dengan harga berpatutan dan mempunyai keyakinan terhadap kualiti kerja pembaikan. Untuk itu, BNM akan terus mencari penyelesaian bagi isu ini demi kepentingan orang ramai,” menurut BNM dalam kenyataan di sini hari ini.

Bank pusat itu mengeluarkan ke­nyataan tersebut sebagai reaksi kepada MyCC mengenai pengatur­an kadar diskaun yang dipersetujui bagi harga alat ganti motor dan upah pekerja bagi kerja pembaikan kenderaan motor yang terlibat dalam kemalangan.

Jelas bank pusat itu, peng­atur­an yang dipersetujui bersama antara PIAM dengan FAWOAM juga adalah perlu untuk mencerminkan kos pembaikan yang berpatutan dalam persekitaran premium insurans motor yang dikawal oleh tarif.

Katanya, tuntutan yang tidak wajar, sekiranya tidak dikawal dengan berkesan memerlukan pelarasan premium tarif yang ketara dan boleh memberi kesan kepada pengguna, atau mungkin menyebabkan syarikat insurans am menarik diri sepenuhnya daripada pasaran insurans motor.

“Kejadian ini pernah berlaku pada 2012, berkaitan tuntutan kecederaan anggota pihak ketiga motor apabila lebih satu juta kenderaan motor dirujuk kepada kumpulan insurans motor bagi mendapatkan perlindungan beri­siko yang ditolak disebabkan kesulitan yang dihadapi pengguna untuk mendapatkan insurans motor pada kadar tarif semasa.

“BNM, kemudiannya mendapatkan kelulusan kerajaan untuk melaksanakan semakan tarif secara berperingkat pada kadar kenaikan yang terhad. Tarif ini masih digunakan sehingga sekarang,” katanya.

BNM menyifatkan tanpa pengaturan yang sesuai untuk mengawal tuntutan yang tidak wajar dan palsu akan menjejaskan usaha bank pusat itu untuk melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh dalam pasaran insurans motor termasuk liberalisasi tarif insurans motor secara beransur-ansur.

Malah, BNM juga yakin kepen­tingan awam dapat dipenuhi melalui pembaharuan terhadap pasaran insurans motor yang berterusan.